Sebuah sekolah agama di Pengkalan Hulu yang sedang mengalami pelbagai masalah amat perlu diberi perhatian oleh orang ramai dan pihak yang berwajib. Nama sekolah tersebut ialah MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN WAL-QIRAAT ADDIN-5 yang terletak di Jalan Felda Lepang Nenering, 33100 Pengkalan Hulu.
Baru-baru ini Penyelia Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu Encik Lee Sing Long telah membuat pertemuan dan perbincangan dengan Pengetua sekolah tersebut Ustaz Mohd Fakri Bin Abdul Zawawi setelah mendapat aduan daripada orang ramai. Beberapa masalah yang ketara telah dibincangkan dan dimaklumkan oleh Pengetua sekolah terbabit dan difahami oleh Encik Lee keadaan amat kritikal dan serius yang mana ianya perlu diberi perhatian dan bantuan seberapa segera.
Antara yang amat mendukacitakan dan amat menyedihkan ialah bekalan air bersih untuk kegunaan harian para pelajar dan guru-guru yang menjadi penghuni asrama sekolah tersebut. Mereka didapati tiada pilihan dan terpaksa menggunakan air dari sumber air perigi yang tercemar dan kotor untuk kegunaan harian. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku memandangkan Negara telah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan seolah-olah nikmat kemerdekaan Negara tiada sebarang pengertian apa-apa kepada Rakyat Malaysia di kawasan pengdalaman. Amat malang sekali perkara seperti ini terjadi dan dialami oleh para pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak yang sedang menimba ilmu didalam bidang agama. Sejumlah 30 orang pelajar dan 4 orang guru di sekolah ini terpaksa meneruskan penggunaan air perigi yang kotor dan tercemar itu untuk makan, minum, mandi dan mencuci pakaian. Semua aktiviti ini boleh mengancam kesihatan mereka yang terpaksa melalunya kerana tiada alternative lain.
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh para pelajar dan guru-guru yang tinggal di asrama ialah ancaman dari binatang liar seperti babi hutan dan musang yang sering masuk ke kawasan penginapan asrama yang tidak mempunyai pagar. Pihak sekolah ini difahamikan oleh Pengetua kepada Encik Lee bahawa pihak sekolah tidak berkemampuan untuk membina pagar disebabkan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk kos membina dan memasang pagar yang berkeluasan 20,000 meter persegi.
Pengetua sekolah agama ini Ustaz Mohd Fakri juga memberitahu bahawa bayaran yuran yang diterima oleh ibubapa pelajar sebanyak RM160.00 sebulan dan bayaran Perkapita sebanyak RM50.00 setahun masih lagi tidak mencukupi bagi menampung pelbagai perbelanjaan pelajar dan kegunaan harian sekolah ini. Seperti perasarana untuk kebajikan. Sekolah ini samalah seperti sekolah-sekolah agama persendirian lain yang tidak mendapat sebarang perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan Barisan Nasional, dan hanya pandang sebelah mata, jika ada pun bantuan dari pihak kerajaan pun umpama melepaskan batuk ditangga sahaja, tidak dilakukan dengan ikhlas sebagai kerajaan yang bertanggung jawab menjaga kebajikan rakyat.
Maklumat yang telah dikumpul oleh Penyelia D.U.N. Pkln Hulu daripada pelbagai sumbangan mendapati sebuah perigi telah dibina oleh Jabatan Galian sumbangan dari kerajaan pusat pada bulan March 2009 untuk kegunaan sumber air baru bagi pelajar-pelajar asrama sekolah ini. Projek mengorek dan membina perigi tersebut telah disiapkan oleh kontraktor pada bulan September 2009. Jumlah projek tersebut bernilai RM90,000.00 tetapi hasilnya amat mengecewakan, setelah kontraktor mendapat pembayaran, perigi tersebut tidak sesuai digunakan untuk minum selepas beberapa ujian. Air perigi didapati kotor dan tercemar, projek tersebut menjadi sia-sia dan ini merupakan satu pembaziran wang rakyat kerana air di dapati tidak sesuai untuk kegunaan pelajar. Akhirnya pelajar terpaksa menggunakan sumber dari air perigi asal yang juga kotor dan tercemar.
Namun dengan usaha ikhlas dan murni daripada Lee Sing Long yang telah bertemu dan berbincang dengan Pengetua sekolah ini, maka diharap dapatlah kita sebagai Rakyat Malaysia yang merdeka bersama-sama dapat menghulurkan bantuan walau sekecil zarah demi kebajikan para pelajar di sekolah ini. Derma dari pelbagai kalangan masyarakat adalah amat dialu-alukan bagi menampung pelbagai masaalah penyelenggaraan sekolah dan keperluan asas pelajar.
Sebarang derma dan bantuan ikhlas dari orang ramai bolehlah disalurkan terus kepada pihak pengurusan sekolah ini dengan menghubungi Pengetua Sekolah Agama Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qirat Addin-5, iaitu Ustaz Mohd Fakri Bin Abdul Zawawi di talian 04-4720616 atau HP: 019-4259982 segala bantuan dan sumbangan anda amat dihargai.
Tangki air sudah tersedia tetapi tidak dapat diguna menunjuk kerajaan BN membazir wang Rakyat.
Inilah perigi lama air yang kotor dan tercemar diguna kanak-kanak sekolah untuk diminum, memasak, mandi dan mencuci kain setiap hari.
Penyelia D.U.N. Pkln Hulu Lee Sing Long mengumpul maklumat dari Pengetua Sekolah Ustaz Mohd Fakri dan masalah Sekolah Agama Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qirat Addin-5 mendapat perhatian Encik Lee.
Lee Sing Long bersama kanak-kanak asrama sekolah terpaksa meminum air perigi kotor yang mengancam kesihatan mereka.
Di sebelah belakang Encik Lee Sing Long adalah perigi yang baru siap tetapi tidak sesuai untuk di minum, satu lagi projek kerajaan BN yang menjadi sia-sia.
|