UMNO BN Tidak Akan Bubarkan DUN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan dibubarkan pada masa terdekat kerana Barisan Nasional (BN) takut berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya.

Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya berkata, mustahil BN memilih jalan penyelesaian dengan membubarkan DUN Perak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka sendiri berasa tidak yakin untuk menang.

“Saya percaya majoriti pemimpin BN mempunyai pendapat sama iaitu tiada jalan keluar dalam menyelesaikan isu Perak selain pembubaran DUN.

“Namun, Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memilih jalan tidak menguntungkan parti kerana gejala simptom takut menghadapi pilihan raya dan rakyat masih menghantui BN,” katanya semalam.

Menurutnya, keengganan BN meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti jelas menunjukkan mereka 'trauma' dengan kekalahan.

“Mereka telah mengambil jalan mengaku kalah sebelum bertanding, inikan pula menghadapi pilihan raya di seluruh Perak. Tetapi jika BN inginkan masalah kemelut ini selesai, inilah jalan paling sesuai," katanya.

Menurutnya, tanpa pembubaran DUN, kemelut Perak tidak akan berjaya diselesaikan jika tidak mengembalikan kuasa kepada rakyat kerana penyelesaian melalui mahkamah dilihat semakin menambahkan lagi konflik.

Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter