Kemenangan Pakatan Rakyat Cerah Bila UMNO Takut Bertanding

Sekiranya bilangan penyokong menjadi kayu ukur undi yang bakal diraih dalam pilihan raya kecil N12 Penanti, Parti Keadilan Rakyat yakin kemenangan dipihaknya.

Sejak seawal jam 7.00 pagi lagi, kira-kira seribu penyokong PKR dan Pakatan Rakyat berhimpun di jawatankuasa daerah mengundi (JDM) Mengkuang, yang terletak beberapa meter dari Institut Kemahiran Belia Negara Berapit.

IKBN kali ini dipilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sebagai pusat penamaan calon dan pusat pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti.

Calon PKR, Dr Mansor Othman yang berpakaian baju Melayu warna biru muda bertolak dari Yayasan Aman di Penanti sekitar jam 7.00 pagi dengan diiringi Naib Presiden, Azmin Ali dan lima buah kereta.

Perjalanan menuju ke JDM Mengkuang berjalan lancar dengan kampong-kampong disepanjang destinasi ke IKBN dihiasi bendera biru, merah dan putih serta kain rentang dan poster menyatakan sokongan kepada Dr Mansor.

Ketua Umum Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim tiba tidak lama kemudian diikuti Bendahari Pas Dr Hatta Ramli dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Sekitar jam 8.30 Dr Mansor Othman diiringi ke IKBN disambut oleh kira-kira 300 penyokong yang sudah pun berkumpul di hadapan IKBN menyambut kedatangan calon PKR.

Sehingga pukul 9.00 pagi, jumlah penyokong PKR melonjak kepada 2,000 orang dengan masing-masing membawa bendera PKR, PAS atau DAP.

Tidak kurang juga yang menggantung baju hitam di atas kayu tanda pekabungan ke atas kematian demokrasi di Perak.

Kira-kira 500 polis dari pelbagai unit berkawal di sekeliling IKBN sementara sebuah helikopter dengan ketumbukan kecil Light Strike Force diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Laungan ‘bubar DUN Perak’ dan ‘hidup Nizar’ memecah keheningan pagi menandakan ketibaan Menteri Besar Nizar Jamaluddin.

Tidak lama kemudian, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng danKetua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut bersama-sama 1,000 penyokong berarak dari Pejabat Operasi Utama DAP di Berapit.

Sekitar 10 pagi seramai kira-kira 4,000 penyokong Pakatan Rakyat telah membanjiri kawasan IKBN. Kemeriahan suasana agak hambar tanpa pesaing utama, Barisan Nasional.

Calon bebas Aminah Abdullah tiba kira-kira pukul 9.02 pagi bersama 10 ahli keluarga beliau dan 12 minit kemudian, Mohd Saberi Othman pula tiba dengan berpakaian merah garang.

Kamarul Ramizu Idris, bekas calon bebas pilihan raya Parlimen Bukit Gantang tiba seminit kemudian bersama pembantu beliau.

Proses penamaan bermula pukul 9.00 pagi dan tepat 12 tengahari, pegawai SPR Roslan Yahaya mengumumkan Mohd Saberi tidak layak bertanding atas alasan teknikal. SPR kemudiannya mengumumkan pilihan raya kecil Penanti akan menyaksikan perlawanan 4 penjuru.

Jurucakap pemantau pilihan raya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel), Jamaluddin Abdullah berkata Mafrel berpuas hati tiada sebarang kejadian buruk berlaku hari ini.

Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter