PTPTN : Cadangan PR untuk memansuhkannya wajar mendapat sokongan

PTPTN wajar dimansuhkan dan saya bersetuju dengan cadangan Pakatan Rakyat(PR) untuk menghapuskannya jika PR diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya kali ini. Saya telah menulis isu pembiayaan pelajaran ini banyak kali kerana isu pelajaran dan pendidikan adalah isu teras dalam pembangunan negara. Pendidikan selalunya percuma di negara-negara maju.

Janganlah kita mengaku yang negara kita adalah negara maju dan rakyat yang berpendapatan tinggi tidak lama lagi tetapi kita tidak nampak tanda-tanda hasrat yang dilaungkan oleh PM Najib itu akan tercapai seratus tahun lagi. Takkanlah dengan memberikan wang ehsan RM500 baru-baru ini telah menjadikan negara kita rakyat yang berpendapatan tinggi.

Di kesebelasan negara-negara Scandinavia pelajaran adalah percuma. Di Germany juga percuma dan di Perancis dan banyak lagi negara-negara lain yang memberikan pendidikan dan pelajaran percuma sehingga peringkat tertinggi.Di negara-negara tersebut tidak ada nampak pemimpin politiknya pergi ke kawasan masing-masing menabur wang 500 euro dan sebagainya. Mereka tidak pun sibuk mendabik dada yang mereka telah memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat mereka.

Alasan Menteri Pelajaran Tinggi, Khaled Nordin, yang PTPTN tidak boleh dilupuskan kerana ianya akan mengurangkan daya saing siswazah-siswazah kita adalah tidak munasabah. Khaled seterusnya bertanya jika hutang PTPTN itu dilupuskan, siapa yang hendak membayar hutang-hutang itu? DAN jika itu dilakukan juga maka IPTS akan tutup kerana pelajar-pelajar akan hanya bertumpu kepada IPTA.

Saya benar-benar tidak percaya menteri itu memberikan alasan yang tidak berlandaskan kepada kekuatan pemikiran seorang penggubal dasar. Apa yang susah sangat kerajaan hendak menyelesaikan masalah ini? Bukankah pelajaran dan pendidikan itu merupakan elemen asas untuk membentuk negara maju? Apa yang tidak dapat diterima ialah kerajaan tidak peka langsung tentang nasib anak-anak bangsa yang sudah sedia berhutang semasa muda mereka.

Pendidikan ini ibarat nafas kita. Nafas kita memerlukan udara untuk hidup dan udara itu percuma. Begitu jugalah pelajaran. Pelajaran itu tersangat penting untuk mengekalkan kewujudan sesebuah negara yang maju. Negara kita telah membazir dengan ketirisan yang sudah mencapai ke angka trillion ringgit, kenapa pula tidak ada kudrat untuk membiayai pelajaran rakyat jelata?

Jika rakyat boleh membayar hutang hanya seorang anak Perdana Menteri sehingga RM1.8 billion ringgit pada tahun 1998 dahulu, kenapa kita tidak boleh menanggung pembiayaan pelajaran rakyat yang ramai ini? Kenapa rakyat yang ramai terlalu susah untuk mendapatkan bantuan bebanan membayar hutang sedangkan pemimpin-pemimpin atau kroni mereka amat mudah untuk mendapatkan ‘bailout’ dari kerajaan dalam angka yang beratus billion ringgit itu.

Apa peliknya jika rakyat kita mendapat pelupusan hutang PTPTN ini serta memansuhkan terus PTPTN ini? Jika Tajuddin Ramli diberikan gerenti untuk tidak perlu membayar hutang kepada kerajaan yang berbillion ringgit itu, kenapa hutang anak-anak bangsa yang baru masuk ke alam pekerjaan itu tidak dilupuskan? Jika Tony Fernandez yang sudah hampir terlungkup dengan berbillion ringgit itu boleh di selamatkan oleh kerajaan dengan bertenggek kepada MAS itu?

Kenapa Mirzan Mahathir yang tidak berjaya dalam perniagaannya boleh menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan beliau dari tersungkur dan tersembam ke bumi kerana kegagalannya?. Kenapa susah sangat untuk memikirkan nasib ratusan ribu siswazah yang baru keluar dari universiti itu tidak boleh diselamatkan dari tindakan undang-undang kerana tidak mampu untuk membayar hutang PTPTN ini?

Isu PTPTN ini melibatkan hampir kesemua keluarga di seluruh negara maka cadangan PR untuk melupuskan dan memansuhkan terus PTPTN ini amat wajar diberikan sambutan dan sokongan. Jika semua masyarakat memberikan dorongan untuk menghapuskan terus sekim PTPTN ini maka ia akan berjaya dilakukan hanya dalam beberapa bulan sahaja lagi, iaitu semasa berada di dalam bilik mengundi serta saluran yang rakyat akan pergi untuk melaksanakan tanggungjawab besar ini.

Saya yakin alasan yang diberikan untuk menolak penghapusan hutang PTPTN ini merupakan satu alasan yang meleset apabila PR buktikan yang penghapusan itu boleh dilakukan tanpa sebarang masalah besar.

Jika mereka yang berkuasa dan kroni kepada pihak yang gagah perkasa dengan kuasa boleh dilupuskan dalam jumlah ratusan billion ringgit, tidak ada sebab kerajaan memberi sebab untuk tidak melupuskan hutang untuk ratusan siswazah yang hanya berjumlah lebih sedikit dari 6 billion ringgit itu.

Jika pihak PR diberikan mandat kali ini maka keuntungannya kepada setiap keluarga akan jauh lebih banyak dari wang ehsan RM500 yang diberikan kerajaan BN baru-baru ini. Masing-masing patah-patahkan lah jari untuk membuat perkiraan itu. Tidak payah pakai mesin pengira yang canggih untuk mendapatkan jawapannya.

Masalah menghadapi tuntutan dari PTPTN ini merupakan masalah yang sangat besar yang dihadapi oleh siswazah dan ibu bapa siswazah-siswazah yang baru bekerja atau yang belum bekerja sekarang ini. PTPTN memberikan masalah kepada hampir semua keluarga yang ingin mendapatkan pelajaran untuk anak-anak mereka.

Yang penting setiap orang wajar bersabar menunggu hari membuat perhitungan ini.

Sumber: http://aspanaliasnet.blogspot.com/

 
Load Counter