UMNO bertambah lemah kerana rakyat kini rakyat bermaklumat

Keadaan dunia hari ini tidak lagi boleh sesebuah parti atau kumpulan pemimpin-pemimpin yang tidak beretika dan bermoral bertahan lebih lama lagi. Keadaan itu juga melibatkan negara dan rakyatnya sekali. Seperti dinegara kita UMNO telah memerintah negara sejak merdeka dan dalam keadaan negara yang baru merdeka, UMNO menjadi dukungan rakyat bukan sahaja oleh bangsa Melayu tetapi juga bangsa bukan Melayu. Justru UMNO telah mengepalai kepimpinan negara sejak zaman itu kerana rakyat belum lagi cukup maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam kepimpinan UMNO itu.

Tetapi sekarang, oleh kerana negara kita bersama-sama menikmati perubahan serta kemajuan dalam teknologi dan bidang-bidang pembangunan manusia yang lain, rakyat negara ini juga sudah menjadi rakyat yang bermaklumat. Walaupun masih ada yang belum bermaklumat tetapi angka dari masa kesemasa mereka juga akhirnya akan dihampiri oleh maklumat-maklumat yang tepat tentang apa yang berlaku disekeliling mereka.

Rakyat bermaklumat ini merupakan rakyat yang susah untuk ditipu helah keatas mereka kerana mereka sudah bijak berfikir dan memahami yang mana satu yang benar dan yang tidak benar. Pembangunan manusia moden ini juga membentuk satu elemen yang penting dalam kehidupan mereka, iaitu elemen etika dan moral yang tinggi sejajar dengan pendidikan dan pergaulan dengan masyarakat yang membangun dalam semua bidang kehidupan seperti ekonomi dan sosial manusia sejagat.

Agama kita pun menuntut umat Islam untuk hidup mengikut waktu dan zamannya. Nilai-nilai Islam itu merupakan nilai sejagat dan nilai itu merupakan nilai yang membentuk manusia hidup secara ‘civil’ dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diizinkan oleh agama kita yang suci ini serta mana-mana agama sekali pun. Rakyat yang bermaklumat merupakan rakyat yang hidup jiwanya.

Tetapi sebaliknya rakyat yang tidak bermaklumat itu sangat kecil jiwa mereka dan fakir dari segi pemikiran dan persepsi-persepsi mereka terhadap isu-isu yang mengelilingi kehidupan seharian mereka. Orang yang tidak bermaklumat atau mereka yang tidak tahu menilai sesuatu maklumat itu akan sentiasa terjerumus dengan tipu helah pihak-pihak yang ingin menggunakan mereka untuk kepentingan kumpulan yang mahu terus-menerus untuk mengambil kesempatan seperti semasa rakyat ramai yang belum bermaklumat itu.

Disini saya ingin mengambil sekali lagi contoh yang berhadapan dengan kita semua di negara ini khususnya mereka yang bermain politik sempit dan jumud pemikiran. Penyertaan orang Melayu Islam didalam DAP dianggap sebagai pengkhianatan terhadap bangsa dan agamanya. Tetapi anggapan itu sudah ditentang oleh mereka yang memahami politik serta agama yang bermaklumat.

Saya menyebut perkara ini kerana mereka yang mengkritik saya kerana menyertai DAP dan meninggalkan UMNO ini tidak habis-habis menuduh saya sebagai kafir dan anti Islam dan petualang kepada bangsa Melayu. Saya ingin memberikan jawapan kepada isu yang dilemparkan oleh OKU-OKU (Orang kuat UMNO) terhadap saya ini lagi sekali dan saya tidak akan lagi menjawabnya pada masa-masa yang akan datang dalam tulisan saya. Saya akan hanya menjawbnya di dalam ceramah-ceramah di mana saya dijemput untuk berucap di seluruh negara.

Saya meninggalkan UMNO adalah kerana sebab yang sama seperti yang dituduh terhadap saya itu. Saya menentang budaya rasuah yang tidak lagi dapat diselesaikan oleh pimpinan kerana rasuah itu sudah sebati dengan kerajaan hari ini. Apa pun yang dikatakan oleh pimpinan Najib tentang kebaikkan kerajaan hari ini, tetapi jika rasuah masih menempel dan bertenggek diatas kerajaan ini selagi itulah tidak ada perkara yang diputuskan oleh kerajaan itu akan menjadi betul dan benar lagi.

Apabila rasuah berluas-luasa maka segala perkara yang lain tidak akan terlingkung di dalam kehendak dan kemahuan agama kita lagi. Jika saya dikatakan sebagai anti Islam itu merupakan tuduhan yang melulu kerana rasuah itu adalah perkara yang amat bertentangan dengan agama kita.

Maka saya ingin mengingatkan kepada siapa yang menyokong pimpinan UMNO pada hari ini yang mereka adalah gulungan yang membiarkan unsur rasuah didalam pimpinan yang amat bertentangan sekali dengan agama kita serta agama-agama yang lain. Malahan kita jangan lupa pesanan agama kita yang sesiapa yang memakan rasuah itu, menyerupai orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Tidak ada negara dan pimpinan serta tamaddun yang kekal jika rasuah melanda sesebuah negara dan tamaddunnya. Bacalah sejarah mana sekali pun, samada sejarah lama atau pun yang baru. Kenapa kita tidak mahu belajar dari contoh-contoh nyata ini? Kenapa perlu kita melalui pengalaman yang buruk tamaddun dan banyak negara lain yang telah melalui kesengsaraan negara dan rakyatnya yang dihasilkan oleh rasuah yang tidak dapat dikawal ini?

Bukankah kita tahu yang penamat kepada kerja rasuah ini ialah kehancuran sesebuah negara itu dan negara kita sekarang benar-benar sedang berada dilandasan yang begitu bahaya ini. Jika kita benar-benar beragama apakah peranan yang kita mesti lakukan jika kita tahu yang negara kita suatu hari akan hancur oleh kerana rasuah ini?

Adakah cukup kita ini beragama dengan hanya melaungkan Islam..Islam….tetapi di samping laungan itu pimpinan kita yang beragama Islam itu sedang melakukan perkara-perkara yang terkutuk itu? Tidak salah jika saya katakan yang mereka ini hanya setakat melaungkan isu-isu agama tetapi tidak pernah menjadikan Islam itu sebagai addin seperti yang dilaungkan disetiap perhimpunan agong UMNO dalam usul agama.

Addin kata orang, addin kata kita. Apa dia addin tidak siapa yang mahu berusaha untuk mengaddinkan agama seperti yang mereka laungkan itu. Salahguna kuasa, rasuah, melanggar perjanjian persekutuan dan menindas orang Melayu yang kononnya dalam perlindungan UMNO seperti yang dilaungkan sejak berdekad-dekad dahulu. Kerajaan Persekutuan telah merampas harta rakyat yang kebanyakkan nya Melayu dalam isu hasil minyak negeri Kelantan. Di manakah letaknya Islam dan addinnya di sini selain dari hanya memperjuangkan sebahagian kecil Melayu dalam UMNO itu sahaja?

Bagaimana dengan Melayu yang lain dan dimana Islam dan nilainya? Islam itu merupakan agama yang mempunyai nilai sejagat. Malahan disemua negara yang telah maju itu mengamalkan nilai Islam yang tinggi yang telah membawa kemajuan kepada negara mereka.

Apakah diantara banyak nilai Islam yang mereka laksanakan atau mereka addinkan itu?. Yang paling menonjol ialah, rasuah amat berkurangan kerana mereka tahu Islam dan agama mereka juga menolak rasuah habis-habisan. Selagi ada rasuah negara tidak akan berkembang apatah lagi dalam kontek pembangunan pemikiran dan nilai kehidupan. Mungkin mereka tidak Islam tetapi mereka melaksanakan kehendak serta tuntutan Islam.

Di negara ini juga sudah ada bukti yang kerajaan yang beretika dan sedang mengikut kehendak Islam yang sebenarnya dalam mentadbir beberapa buah negeri. Yang paling nyata nilai ini mula terlaksana ialah Pulau Pinang, Selangor dan negeri-negeri lain yang diperintah oleh parti alternatif kepada BN. Rasuahnya amat kecil malahan tidak nampak ianya berkembang, malahan mereka dalam kerajaan negeri-negeri dibawah PR ini sedang berhempas pulas untuk menghilangkan budaya rasuah yang besar-besar ini.

Tidak ada pula pemimpin PR yang menggunakan wang ringgit rakyat untuk membiayai majlis pertunangan anak mereka untuk ‘berglamour’. Tidak ada kes kerugian seperti kes PKFZ yang melibatkan RM12 billion. Tidak ada kes yang melibatkan pemimpin kanan menggunakan pengaruh mereka untuk mendapatkan pinjaman RM250 juta untuk memulakan bisnes monopoli lembu yang akhirnya menggunaka wang sebesar itu membeli harta-harta mewah di seluruh dunia untuk ahli-ahli keluarga mereka.

Tidak ada kes Menteri Besar yang mengaku miskin yang hanya menjual surat khabar dalam hidupnya telah membina mahligai semasa menjadi Menteri Besar. Saya tidak percaya jualan surat khabar dan tempe dahulu boleh mengumpulkan wang sebanyak berjuta-juta ringgit untuk membina sebuah mahligai. Tidak juga kedengaran Menteri Besar PR yang telah memindahkan wang RM10 juta melalui penggurup wang yang begitu ‘dubious’ keadaannya.

Dalam BN ada pemimpin tertinggi yang menggunakan kedudukannya untuk berniaga dengan Surahanjaya Pilihanraya melalui anak dan menantunya yang berjumlah ratusan juta. Tetapi pemimpin ini jugalah yang berdiri dihadapan perwakilan UMNO membaca cebisan-cebisan ayat-ayat al Quran dengan selambanya.

Mereka-mereka ini membaca ayat-ayat suci dari kitab Quran tetapi apabila melaksanakan tugas mereka menggunakan kedudukan mereka seperti apa yang dilakukan oleh Qarun seorang yang hampir dan rapat dengan raja Firaun dahulu.

Quran dan elemen Qarun ada dengan mereka dan dipergunakan silih berganti mengikut kehendak nafsu dan nafsi mereka. Apa pun orang nak mengata saya, saya tidak peduli kerana saya tahu dan memahami yang DAP telah berusaha untuk melaksanakan pentadbiran di Pulau Pinang itu sedang menghampiri nilai-nilai yang dituntut agama kita.

Jika UMNO berteriak tentang addin biarkan DAP melaksanakan addin itu. DAP juga telah membantu kerajaan pimpinan TS Khalid Ibrahim untuk melakukan kebaikkan seperti tuntutan Islam itu tadi….jauhkan rasuah dan salahguna kuasa dan melakukan perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Saya berdoa agar TS Khalid akan berjaya melakukan perkara yang beliau sedang lakukan dengan baik itu, walaupun beliau sentiasa ditekan oleh pihak UMNO. TS Khalid mesti faham yang UMNO tidak suka kepada kebaikkan yang dilakukan oleh TS Khalid.

Mereka sedang berusaha untuk merampas kembali negeri itu kerana negeri itu kaya raya supaya dapat menggunakan kekayaan negeri itu untuk pemimpin mereka sesama sendiri. Kita semua tahu apa yang berlaku di dalam UMNO kerana kita sekarang semuanya sedang berada di dalam dunia bermaklumat.

Sumber: http://aspanaliasnet.blogspot.com/

 
Load Counter