Pakatan Rakyat bakal buat kejutan besar di Perlis

Oleh Abdul Manan Razak

Sejak 54 tahun Perlis diperintah oleh Barisan Nasional (dan sebelum itu Perikatan UMNO-MCA-MIC), tiada sebarang persaingan sengit dihadapi oleh BN di peringkat Dewan Undangan Negeri mahu pun Parlimen.

Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan 3 kerusi Parlimen. Pada masa ini, BN mempunyai 13 kerusi DUN manakala PAS 2. Ketiga-tiga kerusi Parlimen Perlis milik BN.Sebelum 2008, hampir 100 peratus kerusi di Perlis dimenangi oleh BN.

Pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu, PAS telah memperolehi dua kerusi DUN, iaitu memenangi kerusi Simpang Empat dan mengekalkan kerusi Sanglang (selepas mahkamah memutuskan kemenangan BN dalam PRU 2008 sebagai tidak sah).

PAS yang telah meletakkan 12 calon dalam PRU itu (dan PKR bertanding 3 kerusi) telah tewas tipis di DUN Santan dan Guar Sanji yang pernah dimenanginya suatu masa dahulu.

PKR juga telah mula menjejak kaki di Perlis kerana walau pun tewas, gandingan PAS-PKR pada 2008 telah menampakkan hasil positif ke arah usaha menumbangkan BN pada PRU ke-13 nanti.

Kehadiran DAP di Perlis

Kini kehadiran DAP di Perlis pada 2009 dengan tertubuhnya tujuh cawangan yang berkeahlian lebih 1,000 orang, akan menambah mantap gandingan Pakatan Rakyat di negeri Indera kayangan.

Gandingan ini sudah tentu dapat merealisasikan impian yang tidak kesampaian selama ini. Ketiga-tiga parti ini bekerja keras siang dan malam untuk menjayakan harapan PR. Pelbagai bantuan sosial kepada golongan kurang berkemampuan dihulurkan di samping bantuan semasa banjir.

Begitu juga dengan pendaftaran pemilih baru yang dijalankan dari semasa ke semasa. Setiap ceramah yang diadakan dihadiri oleh ketiga-tiga parti komponen PR dan bilangan hadirin semakin bertambah ramai jika dibandingkan pada masa-masa lalu.

Apakah ini menandakan BN Perlis akan tumbang?

Dengan pelbagai isu yang timbul di negeri terkecil di Malaysia ini berserta pengundi seramai hampir 120,000 orang, sudah tentu Pakatan mampu membuat kejutan besar dalam PRU ke-13 nanti.

Pada PRU ke-12, PAS dan PKR telah berjaya meraih undi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan undi. Hanya diperlukan 15,000 lagi undi untuk menumbangkan BN.

Masalah ekonomi rakyat

Masalah peluang pekerjaan semakin parah kerana tiadanya pelaburan untuk menjana ekonomi Perlis. Apa yang ada hanyalah janji-janji kosong pemimpin-pemimpin negeri sejak puluhan tahun dahulu.

Rakyat negeri, apabila tamat persekolahan, tiada banyak pilihan. Yang diberi peluang melanjutkan pelajaran, berhijrah ke negeri lain. Yang diberi peluang pekerjaan, pun turut berhijrah kerana peluang hanya ada di luar Perlis.

Selebihnya yang berada di dalam negeri, terdedah dengan aktiviti tidak sihat yang mendatangkan masalah sosial, termasuk kedudukan Perlis bersempadan dengan Thailand. Ada yang menganggap ini adalah antara faktor utama Perlis mencatatkan kadar perceraian tinggi di negara ini.

Pemimpin BN negeri hanya mampu menjadi burung kakak tua, meniru pimpinan pusat mereka dengan angan-angan projek-projek mega di Perlis seperti pembinaan Unimap, jambatan Padang Besar yang terbengkalai dan pembangunan Bandar Baru Chuping yang hanya menguntungkan golongan berada sahaja.

Majoriti rakyat masih lagi di takok lama mewarisi kemiskinan yang semakin tegar. Tiada sebarang industri yang berkeupayaan memberi pekerjaan kepada mereka.

Pemimpin UMNO-BN tak peduli rakyat

Dalam keadaan yang menyedihkan ini puna, kelibat pemimpin BN turun padang juga jarang kelihatan. Ada juga Exco Kerajaan Negeri yang selesa menetap di Lembah Klang kerana kesibukan perniagaan peribadi.

Ada pula Exco Kerajaan Negeri yang melarikan diri ketika kawasannya ditimpa bencana banjir. Mungkin sewaktu bersembunyi itu, pemimpin BN ini tidak sedar bahawa semua orang tahu perangainya kerana saiz negeri yang kecil molek ini tidak memudahkan seseorang cabut lari dari tanggungjawabnya.

Malah, ada juga seorang Ahli Parlimen yang lebih sibuk menangani masalah peribadinya berbanding dengan usaha memenuhi janji-janji piliahn raya kepada rakyat yang telah mengundi memilihnya.

Urusan mendapatkan hak milik tanah merupakan satu lagi pemasalahan yang menghantui rakyat Perlis.

Rata-rata rakyat jelata yang mengusahakan tanah sejak awal merdeka belum memperolehi hak milik hatta lessen pemilikan sementara (TOL) sekali pun. Yang memiliki hak milik hanyalah daripada kalangan pemimpin BN atau sekurang-kurangnya mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan para pemimpin berkenaan.

Begitu juga dengan masalah yang dideritai oleh rakyat akibat pemberian ladang tebu oleh kerajaan negeri seluas 1,500 hektar kepada Perlis Plantation Bhd dan pengambilalihan balik oleh Felda Global dengan kos RM1.4 bilion daripada Tan Sri Robert Kouk dua tahun lalu.

Pengambilalihan ini menyaksikan harga gula di pasaran negara ini naik dua kali berturut-turut. Bukan sahaja rakyat Perlis malah semua orang di Malaysia merasai kesan kenaikan harga gula. Apakah ini amalan BN – kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan kelaparan?

Kes rebut jawatan Menteri Besar belum selesai

Seperti mana diketahui umum, isu pelantikan Menteri Besar masih lagi bergelumang di fikiran setiap rakyat Perlis. Perasaan tidak puas hati mantan Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyokongnya yang telah mendapat kemenangan untuk BN pada PRU 12 lalu diketahui oleh semua penduduk negeri.

Kontroversi itu masih menyelubungi negeri berikutan isu watikah pelantikan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi (untuk Shahidan) tidak laku sama sekali dan telah memberi impak besar ke arah pengkhianatan perjuangan sesama mereka dalam UMNO.

Bagi pihak yang kini menerajui UMNO Perlis dan kerajaan negeri, mereka menganggap mantan Menteri Besar itu yang sudah memegang kuasa selama 12 tahun sudah cukup lama dan perlu ditamatkan.

Inilah punca perpecahan sesama UMNO dan BN di Perlis yang turut membuka peluang untuk PR menumbangkan BN.

Inilah antara beberapa faktor yang sukar ditangkis oleh BN, dan inilah pilihan raya yang bakal menyaksikan pertembungan sengit di antara golongan jumud dan golongan sederhana dalam UMNO-BN, serta cabaran baru oleh PAS-PKR-DAP yang senada ke arah UBAH PERLIS dalam gandingan Pakatan Rakyat. – Roketkini.com

 
Load Counter