Keadaan berubah dengan masa. Itulah sebabnya Islam mengingatkan yang kita mesti hidup mengikut masa dan zamannya. Apa-apa agama pun menyatakan yang perubahan itu adalah satu elemen yang tidak dapat di elakkan. Sedangkan secara fisiknya dunia ini pun berubah. Jika kita tengok peta dunia sebelum dan selepas ‘ice age’ misalnya, perubahan dalam bentuk dunia pun berubah dengan begitu besar.
Manusia sentiasa berubah dari muda sehingga tuanya usia. Semasa muda manusia mampu melakukan banyak kegiatan yang memerlukan tenaga, tetapi manusia itu berubah menjadi matang dan tua dan dituruti dengan tenaga dan kudrat yang berkurangan. Semua makhluk berubah dan tidak statik.
Pemikiran kita berubah dari masa ke semasa dan dari zaman ke zaman yang lain. Persepsi terhadap sesuatu perkara berubah dan perubahan ini akan memberikan reaksi kepada pihak lain kerana memang satu principle kepada sains yang menyatakan ‘in every action there will be reaction’.
Hidup ini ibarat pusingan roda, kadangkala diatas, kadangkala di bawah. Tidak ada siapa yang dapat mengelak dari pusingan ini. Begitu juga kuasa; kita berkuasa di satu masa dan akan hilang kuasa itu pada suatu hari nanti. Kuasa itu akan datang atau hilang bergantung kepada perlakuan sendiri. Tidak ada kuasa yang hilang disebabkan kesalahan pihak lain.
Dunia ini berubah dengan sendirinya jika kita lihat dari zahirnya. Tetapi pada hakikatnya ianya berubah dengan afa’al tuhan atau dalam erti lainnya adalah disebabkan kehendak dan gerakNya. Kadangkala kita lupa bahawa kuasa yang paling dan Maha besar adalah kuasa Tuhan, dan selalu kita merasakan kuasa kecil yang dipinjamkanNya itu adalah hak kita untuk selamanya. Ingat kata-kata ini, ‘The earth is much more intelligent and putting all human minds together’.
Saya menyebut isu ini kerana kita selalunya mendabik dada yang hanya kita sahaja yang mampu membawa pembangunan dan orang lain tidak berkeupayaan. Kitalah yang telah membangunkan negara, kitalah yang telah mencipta segala kejayaan, kitalah yang membawa penyatuan umat, kita adalah contoh kepada seluruh dunia dan semuanya kita. Kita telah mengambil segala keizinan Tuhan kepada kita seperti orang yang kufur nikmat. Semuanya adalah ‘kerana aku..aku…dan…aku…seolah-oleh tidak ada Tuhan yang bersifat mukhalafah dan manawi di sebalik segala-galanya.
Tidak ada unsur maknawi yang lain apabila mendapat kejayaan selain dari kita dan parti kita. Segala kuasa ghaib dinafikan; hanya kita..aku…kita dan aku. Tuhan telah pun menunjukan sedikit demi sedikit untuk kita mengakui bahawa kuasa yang ada kepada kita ada PEMILIK MUTLAKNYA. Kita hanyalah peminjam sementara semata-mata.
Sedikit demi sedikit kuasa pinjamanNya telah diambil balik oleh pemilikNya, tetapi kita masih merasakan yang kita adalah pewaris kepada segala kuasa dariNya. Kita sedang diintai-intai oleh kelemahan dan kegagalan kita sendiri.
Kita sudah tidak dapat membezakan dua bentuk kesalahan hina yang sama, sehinggakan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain itu sahaja yang hina sedangkan kesalahan yang sama atau lebih hinanya yang kita lakukan tidak diperbetulkan. Kesalahan oleh pelaku seks haram itu sahaja yang salah tetapi salah guna kuasa dan rasuah itu tidak beberapa besar kesalahannya.
Kita lupa pelaku seks haram yang diintai dan dirakamkan itu merupakan dosa besar kepada Tuhan tetapi dosa rasuah itu adalah lebih besar kerana ianya melibatkan manusia lain. Lain-lain perkataan ianya adalah kesalahan sesama manusia dan isunya ialah isu ‘hablum minan naas’. Ianya melibatkan harta dan wang ringgit manusia yang kita diamanahkan untuk memimpin.
Setahu saya isu ‘hablum minan naas’ adalah lebih besar dari isu ‘hablum minallah’. Allah itu Maha pengampun dan pengasih dan dosa dengan Tuhan mudah terampun dari dosa kepada manusia lain apatah lagi dosa kepada rakyat yang puluhan juta ramainya.
Itulah sebabnya dosa kepada rakyat cepat mendapat balasan. Jika kita orang politik maka kita akan hilang sokongan dari mereka. Sebagai pihak yang memerintah parti kita sedang pemerhatian rakyat dan jika kita masih tidak berubah cara pendekatan kepada mereka kita tidak mustahil ditinggalkan oleh mereka kerana mereka tidak ada apa-apa ‘obligation’ terhadap kita.
Hanya kita sahaja yang merasakan yang mereka mesti membalas budi kepada kita sedangkan hakikatnya kitalah yang sepatutnya membalas budi rakyat yang telah memberikan mandat untuk mentadbir negara yang dianugerah kekayaan yang melimpah ruah.
Isu membalas budi tidak lagi menjadi bahan kempen yang sesuai kerana pemimpin dibayar gaji dan elaun yang besar untuk mentadbir mereka. Mereka yang mengupah pemimpin kita untuk mentadbir negara. Itulah sebabnya apabila mereka melihat pemimpin-pemimpin yang mereka upah itu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan jujur mereka ada hak untuk mengganti manusia lain untuk diupah mentadbir negara. Sebenarnya pemimpin itulah hamba kepada rakyat, bukan sebaliknya.
Rakyat mentertawakan pemimpin yang meminta rakyat membalas budi mereka sedangkan merekalah yang sepatutnya bersyukur kerana diberikan mandat untuk mentadbir negara.
Kalau kita mengambil upah untuk menoreh getah di kebun seseorang tuan punya kebun ada hak untuk menukar penorehnya jika didapati penoreh yang diupahnya itu tidak jujur dengan menjual torehan itu tanpa pengetahuan tuannya. Jadi pemimpin-pemimpin UMNO ini merupakan mereka yang telah diupah oleh rakyat untuk menoreh getah mereka.
Jadi menorehlah dengan baik. Jangan dicuri getah torehan itu dan dijual tanpa pengetahuan tuannya iaitu rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Pilihanraya yang akan datang ini ialah proses memilih siapa yang akan menjadi penoreh. Jangan pula penoreh upahan pula yang mengatur dan menggertak tuan punya kebun.
Rakyat sekarang sedang mengira berapa banyak getah mereka yang dicuri oleh penoreh-penoreh si kebun getah mereka. Dengarnya berbillion telah tiris dan telah banyak kerugian yang dialami oleh tuan punya ladang getah itu, iaitu rakyat.
Tuan punya ladang sekarang sudah sedar yang penoreh upahan mereka lebih kaya dari mereka. Isteri penoreh pun glamor gila! Ladang-ladang rakyat yang punya. Mana boleh jadi....
“Tunggu!!!" Kata mereka. "Nanti kami pilih penoreh-penoreh yang lain!!"
Sumber: http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Browse » Laman Utama
Pemimpin itu ibarat penoreh upahan, jadi menorehlah dengan jujur - Jangan curi-curi jual sekerap
PKR PENGKALAN HULU, Friday, May 20, 2011
Subscribe to:
Comment Feed (RSS)
|