Guan Eng terharu ‘balasan’ sokong gadis Melayu sedekad lalu

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ketika berucap di konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam hari ini. - Gambar oleh Jack Ooi

SHAH ALAM, Dis 19 — “Saya sangat terharu hari ini.”

Demikian kata-kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di hadapan kira-kira 2,000 hadirin di auditorium MBSA di sini pagi ini sambil mengaitkan dengan detik beliau jalani hukuman penjara 11 tahun lalu berhubung isu seorang gadis Melayu dirogol.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata beliau pernah ditanya apakah faedah yang diperolehinya dengan membela nasib gadis Melayu ketika itu.

Ketika dipenjara beliau merupakan Ahli Parlimen Melaka.

Lim yang bertanding semula pada Mac 2008 sekali gus berpeluang mengetuai Pulau Pinang memberitahu, hari ini beliau mempunyai suara padu daripada rakyat pelbagai kaum termasuk masyarakat Melayu sehingga dapat mengetuai kerajaan negeri itu.

“Tetapi selepas 11 tahun sekarang saya bukan lagi hanya ada satu suara (keluarga gadis dibela) tetapi puluhan suara, ratuan suara, ribuan suara malah jutaan suara (yang menyokong Pakatan Rakyat),” kata beliau ketika menyampaikan ucapan perdana pada Konvensyen Pakatan Rakyat.

Lim dipenjarakan di Penjara Kajang pada Ogos 1998 kerana disabitkan mengikut Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Disebabkan hukuman itu beliau tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum 1999 dan 2004.

“Secara peribadi saya terharu dengan Konvensyen Pakatan yang menekankan semangat Malaysia baru dan etos melayan setiap daripada kita sebagai Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan tetapi sebagai bapa, ibu, abang, kakak dan anak.

“Saya masih ingat apabila saya dipenjarakan kerana membela sebuah keluarga yang cucu perempuannya dirogol, saya ditanya sama ada berbaloi untuk hilang semua kerana membela satu kaum,” katanya.

Mengenai Dasar Pakatan Rakyat, Lim berkata “yang kita hendak sembahkan pagi ini adalah satu Dasar Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen PAS, DAP dan PKR.”

“Ia adalah satu dokumen penting yang merangkumi semua titik perjuangan kita bersama.

“Oleh kerana itu ia tidak akan memuaskan hati semua orang seperti DAP yang mahu dinyatakan dengan jelas istilah ‘pilihan raya kerajaan tempatan’ tetapi bersedia menerima istilah mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan’ sebagai pengganti yang tentunya mencakupi pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.

Beliau memberitahu kompromi seperti ini adalah petanda baik bahawa kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat adalah berdasarkan landasan perbincangan dan perundingan yang bernas tanpa didominasikan oleh sesuatu pihak.

“Sungguhpun tidak memenuhi keperluan masing-masing, maka ia adalah satu batu asas yang boleh menjalinkan kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat, hubungan baik antara kaum serta integrasi dan perpaduan kaum di seluruh Malaysia,” katanya.

Sumber: http://loveperak.blogspot.com/

 
Load Counter