Boros memang mainan Umno

Mungkin ia satu peluang untuk kroni membuat duit lagi. Ketika penjawat awam dikatakan tidak bermoral kerana mahu meminta bonus, tetapi untuk membuat bangunan dengan kos hampis RM2 Billion adalah lebih penting dari kebajikan penjawat awam atau membantu rakyat untuk megawal kenaikan harga barangan yang memberi impak kepada seluruh rakyat Malaysia.

Jadi tidak hairanlah jikalau kerajaan seperti tidak mahu lagi menanggung subsidi untuk membantu rakyat tetapi masih mencari idea untuk berbelanja secara boros

Mercu tanda 100 tingkat

Oleh Kamarulzaidi Kamis

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memiliki satu lagi mercu tanda bangunan pencakar langit setinggi 100 tingkat yang dirancang dibina di sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara, selepas Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.

Projek yang akan dimajukan oleh sayap perniagaan hartanah Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu dijadual bermula seawal suku pertama tahun depan sebagai langkah susulan kerajaan menyegerakan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara pada tahun depan.

Menurut sumber, belum dipastikan sama ada bangunan pencakar langit itu akan menjadi yang tertinggi di dunia kerana status ketinggian ditentukan berdasarkan ukuran ketinggian dan bukan jumlah tingkat bangunan.

“Ia mungkin menjadi antara yang tertinggi kerana ketika ini Taipei 101, bangunan tertinggi dunia memiliki 101 tingkat. Bangunan kedua tertinggi adalah Menara Berkembar Petronas dengan 88 tingkat.

“Dari segi ukuran ketinggian, Taipei 101 adalah 509.2 meter dan Menara Petronas 451.9 meter. Menara Burj Dubai yang akan siap pada Januari 2010 pula akan memiliki 160 tingkat dengan ketinggian 818 meter,” katanya.

Sumber itu berkata, cadangan pembinaan bangunan itu sudah dihantar kepada Kementerian Kewangan dan difahamkan sedang dipertimbangkan secara terperinci.

“Kita mungkin dapat mengetahui mengenainya dengan lebih jelas sedikit masa lagi. Buat masa ini, ia masih pada peringkat awal perancangan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau juga berkata, secara umumnya, kerajaan mewartakan tiga kawasan untuk pembinaan bangunan pencakar langit di sekitar Kuala Lumpur selepas Jalan Ampang yang menempatkan Menara Berkembar Petronas.

Selain sekitar Stadium Merdeka, dua lagi lokasi dicadangkan ialah di kawasan pembangunan Pusat Matrade di Jalan Duta yang akan dibangunkan Naza TTDI Sdn Bhd dan projek pembangunan Dataran Perdana, Jalan Imbi oleh Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd (PHBB).

Selasa lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi bagi membolehkan ekonomi negara berkembang pada kadar lima peratus tahun depan, termasuk projek pembangunan bercampur di sekitar Stadium Merdeka dan Pusat Matrade.

PNB baru-baru ini pula berkata, ia sedang membuat persediaan memajukan satu lagi asetnya, iaitu kawasan Stadium Merdeka yang dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada anugerah Unesco Asia-Pacific Heritage Awards for Culture Heritage Conservation. Ia akan membangunkan tapak seluas 7.2 hektar di persekitaran stadium dengan projek pembangunan bercampur dan dijangka dimulakan tahun depan.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata projek merangkumi pembinaan hartanah kediaman dan plaza perniagaan itu memiliki nilai pembangunan kasar sekitar RM3 bilion.

Seorang peserta pasaran hartanah tempatan, berkata cadangan PNB memajukan kawasan sekitar dua stadium bersejarah itu termasuk bangunan pencakar langit akan memberi nilai tambah kepada pelaburan kumpulan itu serta meningkatkan nilai hartanah sekitarnya.

“Anggaran pembinaan sebuah bangunan 100 tingkat ketika ini mencecah lebih RM1 bilion. Dua menara berkembar Petronas yang siap pada 1998 menelan belanja kira-kira RM1.8 bilion. Berdasarkan harga perkhidmatan dan barangan pembinaan semasa yang lebih tinggi berbanding dulu, belanja bangunan 100 tingkat mungkin lebih RM1.5 bilion,” katanya.

Sumber: http://lordazaab.wordpress.com/

 
Load Counter