EGM - NEUTRAL DAILY TUDUH ANWAR HASUT NIK AZIZ?

Oleh: WFAUZDIN NS

KALI pertama saya membaca sebuah blog yang kononnya bersikap adil tetapi mempunyai kandungan yang samasekali berniat jahat, mengadakan cerita dan berunsur hasutan terhadap ahli-ahli PAS untuk menjauhi rakan mereka di dalam PR. Jika anda membaca artikel di sini, jelas menunjukkan penulisnya mahukan PAS menghindari Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim.

Lebih jahat lagi, penulis terpedaya dengan cerita dari rakannya yang bergelar Kumbang yang menyebut bahawa konspirasi untuk menggugurkan Hassan Ali, Us Nasha dan Mustafa Ali bahkan Tuan Guru Presiden sendiri adalah datangnya dari Husam Musa dan Khalid Samad dengan menggunakan pengaruh DS Anwar untuk memperdaya Mursyidul Am PAS. Oleh kerana komplot ketiga-tiga mereka ini, maka Mursyidul Am PAS telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan UGM bagi membersihkan beberapa kerat pemimpin di dalam PAS seperti yang dikehendaki oleh Husam Musa dan Khalid Samad. Alasannya, Husam dan Khalid berdendam dengan pemimpin-pemimpin tersebut. Bukankah mudah bagi penulis blog ini membuat andaian seolah-olah Mursyidul Am PAS itu terlalu murah harga akhlak dan moralnya?

Mengapa DS Anwar dilibatkan dengan permasalahan di dalam PAS? PKR tidak pernah melibatkan PAS jika mengalami sebarang permasalahan malahan DS Anwar sedikit pun tidak memberi komen yang berpihak jika PAS mengalami masalah dalamannya. Paling bijak, DS Anwar tidak sedikit pun mengkritik dan menegur pemimpin PAS seperti Hasan Ali walaupun beberapa tindakan Hasan Ali dilihat tidak mencerminkan muafakat di dalam PR. Ini kerana DS Anwar hormat kepada pemimpin tertinggi PAS yang melantik Hasan Ali sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor. Bahkan, DS Anwar memainkan peranan penting untuk mendamaikan sengketa di Selangor. Begitu juga kisah, `pertemuan di dalam kelambu' di antara dua tiga orang pemimpin PAS di Selangot dengan pemimpin Umno sebaik sahaja PR memenangi majoriti Dun di Selangor. DS Anwar tidak memberikan komen kerana beliau percaya pemimpin utama PAS tentu arif untuk mendisiplinkan ahli jemaah mereka.

Malang sekali, bila masalah seperti sekarang berlaku maka tuduhan dikenakan kepada orang lain termasuk beberapa pimpinan PAS seperti Husam dan Khalid yang dilihat begitu aktif menolak kerjasama dengan Umno. Mungkin penulis blog Neutral Daily terlalu kepingin untuk melihat PAS kembali berpelukan mesra dengan Umno. Jika anggapan saya ini tersilap, saya tidak tahu mengapa nama Husam, Khalid dan DS Anwar dilibatkan untuk mencari alasan mengapa PAS berada dalam kemelut sekarang. Adakah kerana mereka ini, sebab utama PAS tewas di Bagan Pinang? PAS tewas kerana undi pos dan hilang sokongan Cina dan India. Adakah Husam, Khalid dan DS Anwar anti Cina dan India?

Tulisan dari blog berkenaan ternyata tidak masuk akal sekadar untuk melepaskan geram kepada individu-individu tertentu yang mungkin tidak disukai oleh sipenulis. Apa yang saya faham, PAS tidak akan bersekongkol dengan Umno apatah lagi bila mengingatkan kejadian yang menimpa beberapa orang penyokong PAS di Bagan Pinang. Adakah ini parti yang PAS hendak cium dan peluk selepas ini?

Sumber: http://wfauzdin.blogspot.com/

 
Load Counter