Kaji ISA, lepas tahanan ISA: Retorik dan sandiwara Najib!


Penyokong BN yang mahu akta drocanion dan rimba itu dipertahankan walaupun mereka tahu ISA bercanggah dengan Islam




ISA sering digunakan BN untuk menakutkan musuh politik dan menangkap pemimpin pembangkang. Ia hanya memberi 'political mileage' kepada BN semata-mata. Itu yang ditegaskan Adun Teja, Chang Lih Kang yang terus bergiat aktif dalam memastikan akta draconian ini dihapuskan. NYZA AYOB mendapatkan butiran mengenai rancangan Perdana Menteri yang mahu mengkaji semula ISA.

Dato' Seri Najib Tun Razak berjanji akan mengkaji semula ISA. Adakah kenyataan beliau itu betul-betul dapat menyejukkan hati rakyat?

CHANG LIH KANG: Pada pandangan saya kenyataan Najib itu bukan ikhlas untuk kebaikan rakyat. Dan kenyataannya lebih kepada kosmetik semata-mata. Jika memang betul pandangannya itu untuk kebaikan rakyat, ia tidak perlu dikaji semula.
Sesungguhnya masyarakat juga mengetahui ISA adalah satu akta penahanan tanpa bicara. Jika Najib betul-betul ikhlas, akta ini harus dimansuhkan dan tidak perlu dikaji semula.
Kita melihat kenyataan Najib ini sebagaimana kenyataan pemimpin-pemimpin BN sebelum ini yang hanya menyatakan akan mengkaji terhadap sesuatu perkara. ISA sudah lama wujud dan pihak pemerintah tidak pernah pun melonggarkan undang-undang ini.

ISA sering digunakan BN untuk menakutkan musuh politik dan menangkap pemimpin pembangkang. Ia hanya memberi 'political mileage' kepada BN. Cadangan Najib itu hanya gimik politik?

Ya, tindakannya hanya lebih kepada 'political mileage' semata-mata. Dan pimpinan BN akan mematuhi dasar yang sedia ada. Bagi saya, tidak ada langsung ruang demokrasi dalam isu ini. Jika Najib betul-betul ingin memberi ruang demokrasi, beliau patut memansuhkan ISA ini. Hanya inilah satu-satunya jalan untuk mewujudkan demokrasi. Tidak ada jalan lain lagi selain daripada memansuhkan terus ISA agar demokrasi betul-betul terlaksana.

Berdasarkan pengalaman saudara sebagai aktivis yang menentang ISA, sejauh mana keganasan akta ini terhadap tahanan dan keluarga terdekat?

ISA sebagai undang-undang tahanan tanpa bicara. Orang yang ditahan itu tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Belum dibuktikan, mereka dihukum. Selain itu, kita dapat lihat bagaimana penahanan tersebut tidak tetap tempohnya. Mereka boleh melanjutkan penahanan tanpa memberi sebarang sebab musabab.
Dan sepanjang penahanan tersebut, berdasarkan pengalaman dan kisah mangsa-mangsa ISA, mereka diseksa sebegitu teruk. Jika seseorang itu telah dibuktikan di mahkamah dia bersalah dan dipenjarakan, kita tahu tempoh yang dia dpenjarakan.
Tetapi tahanan ISA ini kita tidak tahu bila dia akan dibebaskan. Ini merupakan penyiksaan kepada tahanan. Dan penahanan ini lebih teruk dan mendera emosi keluarga tahanan. Biasanya orang yang ditahan adalah orang yang menyara hidup keluarga. Dan apabila mereka ditahan, keluarga kehilangan tempat bergantung. Dan tanggung jawab tersebut akan dipikul oleh isteri.
Bagi anak-anak pula, mereka akan kehilangan pemberian nafkah oleh bapa mereka untuk tempoh yang agak lama. Dan ini merupakan satu kezaliman dan betul-betul menzalimi ketiga-tiga pihak iaitu isteri, anak dan ibu bapa. Tahanan dilabel dengan bermacam-macam serta dilempar dengan kata-kata nista.

Jika begitu keadaannya, apakah tindakan Pakatan Rakyat untuk mempastikan akta ini dihapuskan terus?

Pakatan Rakyat akan menggunakan sumber daripada beberapa negeri yang dimenanginya untuk membantu kempen mansuhkan ISA. Dan saya percaya lima negeri yang kita pegang ini, Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan menyokong dan menyumbang dana serta tenaga untuk memastikan akta zalim ini dimansuhkan dengan apa jua cara sekalipun. Tambahan pula menghapuskan akta-akta rimba ini menjadi objektif utama jika Pakatan Rakyat memerintah.

http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter