"Himpunan 100 ribu Bantah ISA" akan diteruskan, tiada harapan untuk Najib!




Janji Dato' Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji semula akta ISA pada hari pertama beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-6 disifat sebagai "gempar". Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh percaya kerajaan akan menggunakan ISA kerana mereka tahu kuasa di sebalik itu terlalu luas dan satu tindakan yang paling mudah untuk mencantas apa jua faktor yang mengancam mereka. Lebih-lebih katanya, dalam suasana Barisan Nasional yang rapuh sekarang. Ikuti bual bicara ROY RASUL bersama beliau.

Semasa hari pertama Dato' Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, beliau berjanji akan mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sejauh mana pengharapan GMI atas kenyataan tersebut?

SYED IBRAHIM: Bagi saya, Najib hanya membuat kenyataan yang agak umum. Ini kerana beliau cuma mengatakan akta itu akan dikaji semula. Sepatutnya diiringi dengan tempoh dalam masa berapa lama untuk dikaji semula.
Bagi saya, bukan kajian semula seperti yang dituntut Najib tetapi ISA itu mesti dimansuhkan terus. Sebenarnya banyak pandangan dan fakta berkenaan kezaliman ISA. Di samping itu banyak juga pihak yang memberi komen berkenaan ISA termasuk parti-parti komponan BN sendiri.
Saya rasa tidak memadai dengan meminda kalau dalam keadaan sekarang. Pertama sekali kalau Najib ikhlas dan jujur membuat saranan ISA dikaji semula ia harus diiringi dengan tempoh masa. Lebih baik lagi kalau dikaji semula untuk dimansuhkan.

MCA sebelum ini pernah mendesak kerajaan agar ISA dikaji semula. Namun hasilnya tidak ada apa-apa tindakan. Agaknya, apa yang tersirat di seblaik peristiharan Najib itu?

Sebagaimana saya sebut tadi. Parti-parti komponen ini sudah bersuara termasuk Gerakan. Saya ingat lagi Tan Seri Koh Tsu Koon ada mencadang supaya ditubuh satu jawatankuasa di peringkat parlimen untuk mengkaji semula ISA.
Bagi saya, jika sudah ada pandangan yang agak meluas berkenaan ISA dikaji semula sejak tahun lepas. Suhakam juga memberi cadangan sejak tahun 2003. Oleh kerana itu saya yakini kalau pun ada pengumuman sedemikian ia mesti diikutidengan satu cadangan mekanismanya untuk mengkaji semula. Misalnya merujuk kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang perjuangkan ISA ini.
Kajian semula meliputi dari segi undang-undangnya dan perkara-perkara serta klausa-klausanya. Akhirnya keputusan itu akan dibuat. Jika perkara ini tidak wujud dan jelas orang akan melihat ini salah satu daripada usaha untuk menlebarkan pengaruhnya sahaja sebagai "gula-gula".

Maksudnya, Najib menjadikan ISA sebagai umpan?

Sepatutnya jangan gunakan akta ini sebagai satu alat oleh Perdana Menteri baru untuk mendapat keyakinan rakyat. Ini satu usaha untuk lebih menghormati hak asasi manusia. Jika mereka benar-benar menghormati hak asasi manusia seharusnya bawa dengan plan yang lebih konkrit.

Bagaimana pula dengan rancangan GMI utnuk menganjurkan "Perhimpunan 100,000 Rakyat Bantah ISA" pada Julai depan. Boleh jelaskan statusnya sekarang.

Kita ambil kira sekali lagi suasana semasa yang berlaku. Maknanya sekarang ini kita tahu ada suatu niat atau kenyataan yang dibuat Perdana Menteri untuk kaji semula akta itu. Kita akan akses semula apa yang disebutnya dan membincangkan dalam minggu ini, dari segi kesannya kepada kesedaran masyarakat sama ada positif atau negatif.
Kalau positif mungkin di situ ada satu momentum untuk kita membuat perhimpunan ini. Negatifnya pula mungkin rakyat rasakan kerajaan berbuat sesuatu jadi tidak payah kita besar-besarkannya atau mengadakan perhimpunan lagi. Itu agak negatif. Jadi kita kena nilaikan perkara itu.

Himpunan ini bergantung kepada respons rakyat sekarang, begitu?

Bagi saya, jika kita hendak supaya perkara ini mendapat tumpuan yang lebih oleh kerajaan maka kita kena teruskan dengan perhimpunan itu. Kita akan mendapat komitmen daripada semua pihak dan yang penting ia bukan datang dari satu kaum saja tetapi merentasi semua kaum dan agama. Dengan itu, perhimpunan itu akan dapat menyampaikan masej yang jelas kepada pihak kerajaan.

Sebagai Pengerusi GMI, bagaimana kecenderungan rakyat untuk menghapuskan ISA ini?

Susah hendak membuat satu penilaian yang baik. Secara umumnya saya rasa rakyat memang mempunyai kesedaran yang tinggi dari segi masalah yang dibawa oleh undang-undang ini. Termasuk dari segi perundangan, keadilan, kemanusiaan dan ini satu kesedaran yang sangat tinggi.
Sekarang ini, cabarannya cuma untuk terjemahkan kesedaran itu dalam bentuk tindakan. Terjemahkan perasaan benci atau tidak suka kepada ISA itu. Sebab itu, jika kita dapat gembelengkan tenaga, bukan sahaja ISA itu dikaji semula tetapi dimansuhkan dalam masa yang sangat dekat.

Najib membebaskan 13 tahanan ISA. Bagaimana pula dengan nasib tahanan yang belum dibebas contoh seperti suami kepada aktivis GMI Norlaila Othman, Mat Sah Satrai yang sudah tujuh tahun ditahan.

GMI akan beri perhatian kepada mereka yang ditahan paling lama. Dalam masa sama, tanpa menafikan juga mereka yang ditahan dalam masa yang agak pendek. Namun kita akan tumpukan kepada tahan-tahan yang ditahan lama itu.
Sebabnya, apabila 13 tahanan dibebaskan jelas membuktikan pembebasan itu adalah pembebasan terpilih. Ini kerana daripada bilangan tersebut tidak termasuk mereka yang ditahan selama lebih tujuh tahun.
Ramai orang bertanya kepada saya apa faktor menyebabkan 13 orang itu dibebaskan? Adakah kerana mereka ini sudah pulih atau adakah kerana mereka ini ditahan lama dan adakah kerana masalah lain? Jawapan saya secara ringkasnya, kena tanya dengan Perdana Menteri sendiri atau kepada Menteri Dalam Negeri kerana mereka mempunyai jawapan paling tepat.

Dari segi pandangan logik akal, kenapa tidak dibebaskan mereka yang ditahan lebih lama?

Satu tindakan yang bijak jika mereka membebaskan orang yang lama ditahan. Ini kerana mereka melalui proses pemulihan dalam tempoh yang lama. Kenapa tidak dibebaskan. Di sini menimbulkan banyak perkara yang meragukan.
GMI memang bimbang dan kita rasa sangat risau terhadap tahanan-tahanan yang ditahan ini khususnya yang lama ditahan. Tidak tahu nasib mereka dan yang jelasnya kezaliman berterusan ke atas mereka dan keluarga. Sepatut kerajaan bertindak kena pada tempatnya.
Begitu juga di segi kebajikan mereka apa usaha yang dilakukan oleh kerajaan? Ini semua kena fikir kerana mereka akan menderita termasuk kaum keluarga. Sebab itu saya bercadang kerajaan memberi pampasan. Bukan saja membebaskan mereka tetapi memberi pampasan untuk keluarga dan tahanan supaya mereka dapat membina balik kehidupannya. Ini kerana mereka yang tidak dapat menjalani kehidupan biasa lagi.

Setiap kali berlaku perlantikan Perdana Menteri baru akan ada pembebasan ISA. Adakah akta ISA ini sebagai satu senjata untuk pimpinan negara menaikkan nama mereka?

Memang ya pun. Saya rasa memang itulah antara alat yang selesa digunakan oleh kerajaan pemerintah untuk menunjukkan mereka ada kuasa, prihatin dan sebagainya.
Oleh kerana itu, saya rasa kalau mereka faham perkara itu mereka akan terus gunakan akta ISA. Sebab mereka tahu ini satu nilai senjata yang sangat tinggi yang tidak boleh dilepaskan dan ini terbukti apabila naik Perdana Menteri baru, akan ada pembebasan.
Selepas itu, mereka ada tangkapan dan ketatkan undang-undang. Nampak sangat orang biasa pun memahami perkara ini. Kerana itu kita akan perjelaskan kepada masyarakat yang akta ISA dijadikan sebagai satu alat.

Adakah tindakan Najib membebaskan 13 tahanan ISA boleh membina keyakinan rakyat bahawa beliau seorang yang bertanggungjawab dan mesra rakyat?

Saya rasa berdasarkan keputusan pilihan raya kecil khususnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau, rakyat tidak yakin. Dan berdasarkan pembacaan kita dalam akhbar dan blog, saya rasa rakyat tidak melihat itu sebagai yang meyakinkan.
Dan tindakan tersebut tidak memadai untuk rakyat yakin kepada dia. Mungkin itu satu langkah yang positif tetapi masalahnya kenapa hanya 13 orang dan mengapa dikaji semula saja. Ini tidak cukup memberi kesan yang besar. Kesan yang besar apabila semua tahanan ISA dibebaskan.
Itu menunjukkan Najib memahami majoriti pandangan rakyat berkenaan ISA. Sebenarnya beliau cuba untuk mendapat pengaruh rakyat apabila membuat pembebasan ini tetapi saya percaya beliau tidak dapat kejayaan sepenuhnya.

Pada pemerhatian Saudara, sejauh mana ISA akan digunakan semula oleh kerajaan untuk menangkap musun-musuh politiknya. Adakah peluang akta ini dimansuhkan?

Saya percaya kerajaan akan gunakan kerana mereka tahu kuasa di sebalik ISA itu yang terlalu luas dan satu tindakan yang paling mudah untuk mencantas apa-apa suara tentang apa-apa dasar kerajaan yang dilihat sangat-sangat mengancam.
Kerana di bawah ISA itu mereka tidak perlu kepada semakan mahkamah dan penyiasatan polis yang rapi dan tidak perlu apa-apa keterangan diperlukan mana-mana pihak. Oleh kerana mereka akan melihat kebaikan yang lebih banyak berbanding keburukan jika mereka lakukan. Khususnya dalam keadaan BN sekarang yang semakin rapuh.

Apa peranan GMI dalam hal ini?

Kita akan teruskan dan terjemahkan kesedaran rakyat kepada tindakan. Maksudnya mereka akan bertindak dalam penyuaraan, penulisan, blog, ikuti program GMI dan bersama-sama dalam himpunan ISA. Kita hendak suara desakan bertambah bukan saja dalam GMI tetapi dari rakyat akar umbi.
Kita juga akan bekerja sama dengan ahli-ahli parlimen yang menyokong kempen GMI supaya mereka terus bersuara dalam parlimen. Dan pihak-pihak yang berkenaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Suhakam juga akan diminta supaya benar-benar mengkaji semula ISA dan membuat program yang khusus mengenai perkara ini.
Kita akan jumpa dengan Suhakam dan jika Perdana Menteri terbuka dalam hal ini kita akan buat temu janji untuk berjumpa dan kita akan sampai hasrat kita sekali lagi.

http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter