TADAHAN AIR PENGKALAN HULU TERJEJAS, Jika dibenarkan pembalakan di Gunung Lang.

Perkembangan terkini di kawasan Pengkalan Hulu yang melibatkan kerja-kerja pembalakan di Gunung Lang dan Bukit Sejuk boleh menjejaskan kestabilan pusat tadahan air di kawasan tersebut. Terutama Gunung Lang adalah sumber bekalan air bersih untuk kawasan Pengkalan Hulu. Jika aktiviti pembalakan di biarkan atau dibenarkan, ia pasti menjejaskan alam sekitar dan akibatnya sungai-sungai di kawasan ini akan tercemar. Sumber bekalan air akan terjejas, tidak bersih dan untuk tempoh jangka panjang air sungai akan menjadi kering dan tidak akan berfungsi untuk bekalan air di Pengkalan Hulu.

Masyarakat setempat Kg Kuak Hulu telah berkerjasama membantah sebarang keputusan untuk aktiviti balak di kawasan ini. Untuk jangka masa panjang sekiranya kawasan tadahan air ini di ganggu dan tercemar, kawasan Pengkalan Hulu terpaksa bergantung kepada sumber bekalan air dari Betong Thailand.

Oleh kerana kawasan Pengkalan Hulu ini berada di kawasan berbukit-bukau, tedapat juga pusat tadahan hujan di bukit berhampiran Klian Intan dan Kg Pahit tetapi kedudukannya lebih rendah daripada Pekan Pengkalan Hulu yang berhampiran dengan Gunung Lang, maka sumber air tidak dapat disalirkan ke kawasan yang lebih tinggi. Jika mahu dilakukan ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak ekonomik.

Saya Lee Sing Long aktivis masyarakat Pengkalan Hulu, selaku bekas calon kawasan ini menyeru sokongan daripada masyarakat seluruh Pengkalan Hulu untuk membantah sebarang usaha dari pihak berkuasa untuk membenarkan kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut. Kita merayu agar kerajaan membatalkan lesen pembalakan di kawasan ini dengan segera.


Daripada : Bekas Calon Pengkalan Hulu (2008) Lee Sing Long

 
Load Counter