Calon PRK Hulu Selangor: Apakah Palanivel bakal diNyahkan Umno?

Oleh: WDOnline

"Jika dilihat kepada bayangan yang telah digambarkan oleh Najib, seolah-olah nama G Palanivel tiada dalam senarai nama-nama bakal calon BN di Hulu Selangor.

Walaupun Samy Vellu telah mewar-warkan nama Palanivel sebagai calon tunggal MIC, tetapi, tidak mustahil Umno telah memainkan peranannya dalam merencahkan perjalanan setiap parti komponen BN.


WarkahDaily merasakan ada sesuatu yang disembunyikan Umno dalam mengatur siapakah calon BN. Jika betul sangkaan Samy Vellu, Palanivel adalah calon tunggal MIC yang dicadangkan kepada PM, maka ketika Najib mengumumkan kerusi Hulu Selangor akan ditandingi MIC mewakili BN, sepatutnya Najib tidak lagi menunggu untuk terus mengumum juga Palanivel sebagai calon di kawasan itu.

Tapi sebaliknya terjadi, Najib hanya mengkhabarkan MIC akan bertanding tetapi masih berteka-teki akan siapakah calonnya.
Secara logiknya WarkahDaily membuat andaian, buat apa lagi Najib menyembunyikan nama calon MIC yang mewakili BN jika Samy Vellu sebagai presiden MIC hanya menyerahkan satu nama sahaja untuk dipilih Najib sebagai calon iaitu G Palanivel.

Perkembangan itu menunjukkan, Najib dilihat menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi BN untuk menentukan siapa yang beliau suka dan tidak lagi mengambil kira apa yang Samy Vellu cadangkan.

Kerumitan itu ditambah lagi dengan kenyataan Muhyiddin Yassin yang menyebut senarai calon sudah hampir disenarai pendek. Ia menunjukkan senarai nama bukan hanya Palanivel seorang sahaja seperti yang diputuskan oleh presiden MIC. Walaupun Muhyiddin enggan mengulas mengenai bilangan calon BN, namun ia telah memberi persepsi, G Palanivel bukanlah calon favorite bagi Najib.

Jadi, siapakah pilihan Najib? Apakah Najib juga cuba ‘menyusun semula’ kepimpinan MIC seperti MCA sebelum ini dengan memberi sokongan secara diam-diam terhadap ‘kumpulan-kumpulan’ penentang Samy Vellu.

Jika calon yang bakal diumumkan BN nanti adalah bukan G Palanivel, ini bermakna nama yang akan tersenarai sebagai calon itu berkemungkinan dari kumpulan penentang presiden Samy Vellu.

Jika ia beul-betul terjadi, maka Umno dilihat sebagai master mind yang mengatur segala-gala di atas nama BN.

Sebelum ini, Umno Hulu Selangor beriya-iya meminta Najib meletak calon dari Umno. Kemudian terpaksa menerima hakikat dengan keputusan Najib dengan memberi peluang kepada MIC. Tapi ada desas-desus, Umno cuba memberi syarat khas, mereka hanya setuju MIC bertanding jika calonnya bukan G Palanivel. Mereka mendakwa Palanivel tidak mesra pengundi dan tidak bercampur dengan penduduk tempatan.

Dengan jalan mudah, Najib menjadikan alasan itu untuk memilih orang lain selain Palanivel.

Ini menunjukkan parti komponen BN sudah tidak diperlukan lagi oleh Umno. Setiap perjalanan parti komponen BN hanya diatur oleh Umno sendiri dengan mempergunakan BN.

Baca lagi di: WarkahDaily Online

Sumber: http://www.tranungkite.net/v10/

 
Load Counter