Pengakuan secara tidak langsung Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang mengatakan adanya kesilapan ketika memilih calon bagi menghadapi pilihanraya umum (PRU) ke 12, 2008 lalu sememangnya menampakkan kebenarannya.
Secara realitinya kini rakyat Malaysia terutamanya yang memilih serta mengundi calon-calon PKR sehingga menzahirkan kemenangan pada setiap calon tersebut mula terfikir akan keberkesanan mereka yang dipilih sebagai Yang Berhormat (YB).
Kenapa saya berkata sedemikian? Apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini jelas kelihatan isu kurangnya disiplin terutamanya daripada wakil-wakil rakyat PKR samada sebagai Ahli Parlimen atau pun Adun begitu 'menyerlah' sekali seolah-olah rasa hormat terhadap pimpinan parti itu hilang sementelah menjadi seorang wakil rakyat.
Umumnya semua mengetahui tantang pergolakan beberapa kerat YB daripada kalangan PKR ini yang cuba menimbulkan berbagai 'onar' dan 'duri' seolah-olah memperlihatkan wujudnya ketidakstabilan didalam parti khususnya terhadap DSAI sendiri. Seolah bagaikan ada usaha terancang untuk 'menjatuhkan' DSAI sebagai Ketua Pembangkang secara tidak terhormat!
Keluarnya DS Zahrain Hashim (MP Bayan Baru) pada minggu lepas dan sebelumnya seperti Adun Lunas, Adun Pelabuhan Kelang, Adun Behrang dan Adun Changkat Jering daripada PKR jelas secara tidak langsung mengiyakan apa yang diperkatakan oleh DSAI sendiri didalam soal pemilihan calon-calon daripada PKR bagi menghadapi pilihanraya pada ketika itu.
Dan hari ini episod kepada keceluparan oleh beberapa orang lagi wakil-wakil rakyat daripada PKR ini tetap berterusan sebagaimana yang dilihat oleh kita semua terutamanya daripada YB Zulkifli Nordin (MP Kulim-Bandar Baru) serta YB Tan Tee Beng (MP Nibong Tebal) yang sehingga kini berterusan mencabar pimpinan parti walaupun telah diarahkan untuk menghentikan perbuatan tersebut.
Pada pandangan saya secara peribadi, apa yang dizahirkan daripada mulut DSAI 'akan kesilapan' tersebut bukanlah merupakan kesilapan yang mutlak dan hakiki tanpa dapat diperbetulkan lagi selepas ini, tetapi pengakuan DSAI lebih menjuruskan kepada kita semua betapa besarnya jiwa seorang pemimpin yang ulung dinegara ini yang secara terbuka mengakui akan adanya sedikit kesilapan didalam pemilihan calon pada PRU 12 lalu.
Sebagai manusia kita sebenarnya tidak mampu untuk menidakkan sama sekali kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan tetapi itulah keperibadian yang dimiliki oleh DSAI yang amat sukar untuk seseorang pemimpin bertaraf dunia untuk mengakui akan kesilapannya.
Pada saya, ruang yang ada didalam tempoh dua hingga tiga tahun mendatang ini (sebelum kita menghadapi PRU ke 13), PKR khususnya DSAI sendiri perlulah manfaatkan sepenuhnya masa tersebut terutamanya didalam membuat perkiraan untuk memilih calon yang benar-benar sesuai dan janganlah ada yang 'pancit' lagi dipertengahan jalan sebagaimana yang berlaku kini.
Melihat kepada pemilihan calon yang lalu kebanyakkan lebih bersifat 'bidang terjun' atau tergesa-gesa sehinggakan ada dikalangan calon tersebut yang begitu rendah sekali kepimpinannya apatah lagi latar belakang pendidikannya! Perkara ini juga berlaku kerana dikalangan pemimpin-pemimpin setempat cabang-cabang lebih bersikap tidak mementingkan jawatan apatah lagi untuk diangkat sebagai calon. Sikap orang lama didalam parti seperti ini walaupun di akui kredibilitinya oleh pimpinan atasan parti amatlah disanjung kerana bagi kita yang penting PKR kuat dan BN mesti di tumbangkan.
Apa yang berlaku kepada DS Zahrain Hashim yang merupakan antara mereka yang amat rapat dengan DSAI yang memasuki PKR sebaik sahaja DSAI keluar daripada penjara pada September 2004(tidak sebagaimana kita semua yang telah bersama merasa pahit maung sejak awal pemecatan DSAI 1998 lagi tetapi didalam masa yang sama sesetengah daripada mereka yang kononnya ‘kawan rapat’ DSAI masih lagi bersenang-lenang dengan alasan kononnya “kami tetap menyokong dan bersama DSAI daripada jauh”, Kenapa tidak menyertai kita sejak awal lagi?) dan akhirnya keluar juga daripada PKR selepas berjaya menjadi YB diatas nama PKR? Tidak ubah sebagaimana perumpamaan "harapkan pagar, pagar makan padi..."
Itu tidak termasuk lagi dengan sesetengah calon PKR (termasuk yang menang pun) yang hanya mengisytiharkan keluar UMNO dan menyertai PKR pada malam pengumuman calon iaitu beberapa jam sebelum hari penamaan calon keesokkan harinya semuanya diatas slogan “kami kini ingin bersama DSAI untuk rakyat”!
Satu persoalan ialah kemanakah mereka sebelum ini? Kenapa sejak awal 1998 sehingga penubuhan parti KeADILan di peringkat awalnya pada 04.04.1999 mereka ini langsung tidak bersama kita? Kenapakah selepas DSAI dibebaskan pada September 2004 mereka ini yang mengakui sebagai kawan rapat didalam UMNO suatu ketika dahulu sudah mula menampakkan diri kembali dan secara tergesa-gesa menyertai PKR terutamanya selepas PRU 12 2008?
Realitinya, kemenangan besar PKR dan Pakatan Rakyat pada PRU 12 lalu secara tidak langsung telah mengubah lanskap politik pembangkang khususnya PKR sendiri apabila telah ramai yang mendakwa sebagai ‘sahabat tulen DSAI’, ‘Kawan rapat DSAI’ berbondong-bondong hadir untuk menyertai PKR.
Sebenarnya 'orang-orang lama' didalam KeADILan sejak 1999 tidak pernah menghalang orang-orang yang berkarisma serta mempunyai kredibiliti seperti Dato Fauzi Abd Rahman (Pengerusi MPN PKR Pahang kini), Dato Chua Jui Meng (Ahli MPP), Dato Tan (Ahli MPP), Dato Zaid Ibrahim (Biro Politik MPP) dan beberapa orang lain yang mempunyai daya juang yang tinggi serta berani untuk menyertai PKR kerana kemampuan mereka ini telah terbukti sejak dahulu lagi.
Namun apa yang dipertikaikan ialah terdapat sesetengah mereka yang menyertai PKR ini adalah untuk mencari ‘tempat untuk berlindung’ yang baru disamping menjadikan PKR sebagai 'lubuk emas baru' mereka sebagaimana yang dilakukan sebelum ini disamping ghairah untuk berebut jawatan didalam parti sebagai ‘modal tambahan’ mereka untuk bertanding sebagai calon PKR di PRU ke 13 nanti!
Sudah tiba masanya DSAI perlu menapis 100% bakal calon serta mengambil kira juga pengorbanan orang yang telah lama didalam parti sejak awal penubuhan lagi. Sekiranya apa yang dikatakan tiada pengalaman yang cukup, kita pupuklah mereka agar mereka mempunyai banyak pengalaman. Seandainya karisma, kredibiliti atau kepimpinan mereka yang lama ini kurang, mesti kita didik dan asuhlah mereka ini. Yang pastinya untuk pengetahuan DSAI, mereka orang yang lama didalam parti ini sejak 1999 sudah cukup kuat dengan ujian terutamanya di era kemuncak reformasi 1998-2002, tidak akan goyah kerana mereka ini tahu asas dan prinsip perjuangan keADILan!
Akhirnya, harapan kita semua agar DSAI perlu menilai kembali mereka yang telah lama berjuang untuk parti sejak awal dan seharusnya pengiktirafan kepada mereka inilah yang perlu diberi dan bukannya mengharapkan mereka yang tiba-tiba menyertai PKR atas berbagai slogan dan akhirnya membuat onar kepada parti sebagaimana yang berlaku hari ini rata-rata antara mereka yang mencetuskan berbagai isu dan angkara adalah disebabkan ‘tiadanya keimanan atau roh parti’ sebagaimana yang kita miliki sejak parti ditubuhkan pada 04.04.1999 lagi….
Sumber: http://ingeniur.blogspot.com/
Browse » Laman Utama
KEPADA DSAI : USAHLAH MENGHARAP PADA PAGAR LAGI...
PKR PENGKALAN HULU, Friday, February 19, 2010
Subscribe to:
Comment Feed (RSS)
|