PKR tidak akan tunduk kepada syarat Jeffery

By Ahmad Thamrin, Ketua Perhubungan PKR Sabah

Parti Keadilan Rakyat(PKR) tidak akan tunduk kepada syarat-syarat yang diletakkan Datuk Dr. Jeffery Kitingan untuk terus kekal di dalam parti, kata Ketua Perhubungan PKR Sabah Ahmad Thamrin Zaini.
Thamrin yang kesal dengan tindakan mantan Naib Presiden PKR itu menyifatkan ia adalah tidak wajar sedangkan parti itu mempunyai salurannya sendiri yang memberikan ruang kepada ahlinya menggemukan sebarang cadangan.

"Semua perlu faham PKR adalah sebuah parti nasional yang beroperasi secara demokrasi, tidak ada orang yang lebih penting daripada parti itu sendiri ... tindakan Jeffery membuat syarat seumpama itu hanya merumitkan keadaan sedangkan PKR membuka ruang yang luas untuk ahli bersuara dan membuat cadangan, ada saluran dan peruntukan dalam parti, kita ada forum, majlis pimpinan pusat dan negeri kenapa baru disuarakan sekarang", kata Thamrin yang dalam lawatan sulungnya ke Sandakan selepas menyandang jawatan Ketua Perhubungan PKR Sabah.

Tambahnya, kapasiti Jeffery yang menduduki saf utama dalam barisan PKR sepatutnya memberikan kelebihan untuknya bersuara dan membuat sebarang cadangan.

"Empat perkara itu boleh di lakukan dan disuarakan kerana sebelum ini beliau sendiri merupakan Naib Presiden PKR dan Biro Politik PKR Pusat yang merupakan jawatankuasa tertinggi dalam parti yang mempunyai hak menentukan keputusan," tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Dr. Jeffery yang meletakkan empat syarat kepada parti itu untuk dia kekal bersama parti berkenaan.

Empat syarat tersebut ialah, ibu pejabat parti perlu membuat pembaharuan dan memastikan perlantikan dibuat berdasarkan pemilihan; Ia perlu menghormati aspirasi rakyat; autonomi politik bagi operasi PKR di Sabah; dan parti itu perlu menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti terma jawatankuasa antara-kerajaan berhubung penubuhan Malaysia dan kelemahannya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan PKR sedang berhadapan dengan krisis dalaman,Thamrin berkata ianya merupakan satu proses biasa di dalam mana-mana parti.

"Keadaan seumpama ini ada baiknya ianya merupakan satu anjakan dalam memperbaiki dan memperkukuhkan parti itu sendiri, ini memperjelaskan kepada semua siapa yang sebenarnya akan berjuang atau dasar perjuangan parti", katanya.

Lawan Tetap Lawan.

 
Load Counter