KEKALAHAN PAS, KITA MASIH LEMAH WALAU PUN UMNO TIDAK KUAT

Sudah lama mereka tidak merasai kegembiraan begini....


Oleh: WFAUZDIN NS


ISA Samad mesti dijadikan pemimpin mereka walau siapa dia Isa Samad. Itulah hakikat yang mesti kita terima di Bagan Pinang. Memang PAS tidak rugi apa-apa kerana PAS bertanding untuk merampas kerusi Dun Bagan Pinang. Umno nampaknya mendapat bantuan pernafasan walaupun tidak diketahui selama mana bantuan pernafasan itu boleh menyelamatkan Umno.

Walaupun PAS tidak rugi atau kehilangan kerusi, tetapi kekalahan ini sedikit sebanyak mengecewakan kita. Kita kecewa kerana gagal meyakinkan pengundi untuk melakukan perubahan di Bagan Pinang. Usaha kita sepanjang berkempen di sana seperti tidak dialu-alukan oleh penduduk Bagan Pinang. Justeru itu, berlakulah berbagai kejadian yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi sesama kita umat Islam dan berbangsa Melayu. Jelas dan terbukti, majoriti pengundi-pengundi di Bagan Pinang tetap menganggap rasuah politik bukan satu jenayah. Dan, sememangnya mereka layak bersama Umno/Bn sekiranya berfikiran sedemikian.

Kenapa PAS tewas? Banyak faktor untuk mengulas perkara ini. Tapi yang utamanya ialah pengundi tetap memilih calon yang mereka lebih kenal rapat walau apa pun rekod yang ada pada calon tersebut. Mesti diakui, calon PAS masih jauh dihati pengundi di Bagan Pinang kerana mereka tidak pernah melihat calon tersebut sebelum ini. Mengapa kita lebih yakin dengan pemilihan Zulkefli yang didatangkan jauh dari luar Port Dickson? Mungkin kita tiada tokoh tempatan di Bagan Pinang atau kita tidak memasyarakatkan penduduk-penduduk di Bagan Pinang. Maka, PAS terlalu asing bagi mereka.

Ada yang berpendapat bahawa isu-isu yang berlaku di Selangor terutamanya banyak mempengaruhi undi dari kaum Cina dan India di Bagan Pinang. Kelantangan beberapa pemimpin PAS di Selangor mengkritik kerajaan PR Selangor secara terbuka khususnya berkaitan penjualan arak dan juga isu Selcat. Terdapat juga pemimpin PAS yang sengaja tidak memahami isu pemindahan kuil Hindu di Selangor. Mereka dengan lantang ingin menyuarakan kononnya mereka memperjuangkan Islam. Isu-isu ini bukan sedikit mengguris hati dan perasaan kaum Cina dan India, apatah lagi media kerajaan sentiasa mencari ruang untuk menunjukkan PAS di Selangor bermasalah dengan kepimpinan kerajaan PR Selangor. Seorang pemimpin besar PAS di Selangor pernah berkata beliau menentang pendekatan siasatan terbuka oleh Selcat semata-mata untuk menyelamatkan maruah orang Melayu. Inikah perjuangan kita? Apa beza kita dengan Umno/Bn?

Seribu janji oleh pemimpin Umno juga membutakan mata pengundi-pengundi Bagan Pinang. Mereka ingin sekali berada di sebuah bandar baru yang mewah dan megah yang diberi nama `Bandar Tentera Darat'. Selepas ini mereka akan berangan berada di sebuah bandar yang moden, pesat dan bandarnya tidak lagi akan sepi selepas jam 7 malam. Bagi anggota-anggota tentera yang begitu banyak mengundi Isa Samad tentunya selepas ini akan sibuk membeli kasut Futsal dan seluar renang. Mereka juga akan berhutang dengan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) untuk membeli komputer peribadi kerana mereka tidak lama lagi akan dapat akses internet dengan menggunakan Wifi. Inilah yang mereka mahukan dan ini tentunya tidak dapat dijanjikan oleh calon PAS.

Permainan media pencacai tentunya seronok kerana mainan mereka kali ini berjaya memperdaya pengundi-pengundi di Bagan Pinang. Di tempat lain, media berupa akhbar Utusan Meloya ini tiada tempat langsung selain dari dijadikan alas pengalas punggung sewaktu mendengar ceramah pemimpin-pemimpin PR. Tetapi di Bagan Pinang, akhbar ini adalah kitab utama mereka selain dari berguru dengan TV tiga suku.

PAS pastinya selepas ini membuat post mortem di atas kegagalan merampas kerusi Dun Bagan Pinang. Faktor-faktor di atas mungkin tidak disenaraikan sebagai kemungkinan kita tewas. Mungkin ada faktor lain yang boleh PAS rumuskan sebagai punca kekalahan. PAS semestinya tidak bersendirian di dalam mencari sebab kekalahan ini kerana PAS berada bersama PR.

Walau apa pun sebabnya, kita sedikit pening memikirkan bagaimana undi kaum Cina dan India kembali kepada Bn walaupun di dalam kemelut berpanjangan MCA dan MIC. Saya melihat kemenangan ini bukan kerana kekuatan Umno tetapi kerana kelemahan kita sendiri di dalam beberapa perkara. Kesimpulannya bagi saya, PAS di Bagan Pinang dilihat tidak efisyen untuk melakukan perubahan. Pendek kata, PAS gagal merakyatkan penduduk-penduduk di Bagan Pinang. Mereka tidak kenal siapa calon PAS.

Sumber: http://wfauzdin.blogspot.com/

 
Load Counter