Amanah sangatkah Umno pada bangsanya?

Oleh MAT ZAIN MAT ISA

Khianat! Khianat! Khianat! Bagaikan nak termuntah rakyat mendengar kalimah itu diulang sebuat, dilaung dan ditempikkan lewat perhimpunan- perhimpunan haram. Media cetak pula dalam seminggu dua ini seolah-olah tidak ada tajuk lain lebih sensasi berbanding isu khianat itu. Cerita sekitar isu itu diulanglapor, disorot dan diulas berjela-jela.

Para pemimpin Umno berlumba-lumba menempikkan kononnya Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah pengkhianat bangsa Melayu. Yang mula melaungkan label itu tidak lain dari Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa perkara besar telah Anwar lakukan sehingga dia layak dilabel pengkhianat? Di antara alasan utama Muhyiddin melontarkan label itu ialah kerana Anwar didakwa mendalangi perhimpunan menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), awal bulan ini.

Sementara dakwaan itu masih tertakluk kepada pertikaian, kita turut melihat kes itu tidak munasabah untuk disabitkan seseorang yang terlibat sebagai pengkhianat bangsa dan negara.

Mengukur kesetiaan seseorang terhadap negara dan bangsa hanya berdasarkan satu kejadian membabitkan pertikaian undang-undang adalah terlalu simplistik. Ia satu penghakiman amat dangkal dan menggambarkan sikap kebudakan sebilangan pemimpin Umno.

Lawan kepada sifat khianat ialah amanah. Seseorang yang khianat ertinya seorang yang tidak menunai atau menyempurnakan amanah diberikan kepadanya. Sebaliknya, seseorang yang tidak khianat, atau melabelkan pihak lawannya sebagai khianat, sepatutnya menyerlahkan sifat amanah pada dirinya.

Sumber: http://lordazaab.wordpress.com/

 
Load Counter