Penyembelih Muslim Bebas Masuk Malaysia, Pembela Islam Ditahan


Kedatangan Thaksin dialu-alukan, kedatangan Nur Misuari disambut dengan gari.


Kelmarin heboh media Thailand dengan berita mantan Perdana Menterinya yang menjadi buruan polis Thailand, Thaksin Shinawatra, dikatakan berada di Kuala Lumpur selama 26 jam. Beliau yang tiba ke Lapangan Tebang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang menaiki pesawat peribadinya dari Dubai, sempat menginap di Hotel Shangrila sebelum berlepas ke destinasi lain, dipercayai Fiji.

Kedatangan Thaksin yang tangannya banyak berlumuran dengan darah orang-orang Islam di selatan Thailand itu memang disedari oleh pihak berkuasa Malaysia. Ketua Pengarah Imegresen, Datuk Abdul Rahman Othman menyatakan pihaknya tiada kuasa untuk menghalang Thaksin berada di negara ini kerana beliau tidak pernah diisytiharkan kerajaan Malaysia sebagai orang yang tidak dikehendaki negara ini. "Tidak menjadi kesalahan Thaksin mahu datang ke negara ini. Malah Thaksin juga boleh memasuki negara ini dengan kenderaan apa sekalipun, kerana dia dianggap sebagai pelancong," kata Abdul Rahman.

Bercerita tentang Thaksin, tiba-tiba saya teringat kepada ketua Front Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari, yang menentang penindasan pemerintah Kristian Filipina terhadap orang-orang Islam di negaranya. Beliau yang diburu oleh pemerintah Filipina kerana kecekalannya membela nasib orang Islam di Mindanao dan selatan Filipina telah berjaya meloloskan diri ke Malaysia pada pertengahan bulan November 2001. Menganggap negara ini adalah negara Islam yang selamat dimasuki dan percaya akan dilindungi keselamatannya, malangnya Nur Misuari menerima nasib yang berbeza dengan Thaksin. Pada 26 Nov 2001 Misuari ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dan kemudiannya diserahkan kepada kerajaan Filipina untuk menerima hukuman atas kesalahan membela perjuangan Islam di negara Kristian itu.

Itulah nasib berbeza yang dihadapi oleh dua pemimpin negara luar yang cuba mencari perlindungan di Malaysia. Thaksin, yang tangannya hanyir dengan darah orang Islam yang dibunuh sepanjang dia menjadi PM, boleh masuk ke negara ini sesuka hatinya dan keselamatannya sentiasa terjamin. Nur Misuari pula ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana sebagai seorang pembela nasib orang-orang Islam Mindanao dan selatan Filipina; kedatangannya tidak dialu-alukan di negara ini.

~ pendikar gunung kriang

Sumber: http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter