Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor Dapat Sokongan Tinggi

Kajian sebuah organisasi bebas di Selangor, mendapati kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat sokongan tinggi daripada rakyat Selangor, sejak mengambil alih pentadbiran, 8 Mac tahun lalu. Kajian yang dijalankan oleh Merdeka Center antara 5 Jun dan 15 Jun, 2009 mendapati 60% daripada rakyat Selangor, merasakan Kerajaan Negeri berada dalam hala tuju yang betul dan 63% berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar.
Sebanyak 64% rakyat negeri Selangor berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, selepas memenangi Pilihan Raya Umum pada Mac 2008, manakala 22% lagi tidak berpuas hati. Mengikut pecahan kumpulan etnik pula, kajian yang mengumpulkan pendapat orang ramai itu mendapati 59% Melayu, 69% Cina dan 69% India, menyatakan puas hati terhadap hala tuju kerajaan pakatan rakyat sekarang.

Antaranya, mereka berpuashati terhadap program kebajikan yang dilaksanakan, ketelusan dan pentadbiran yang cekap serta menolak amalan rasuah dalam pentadbiran baru kerajaan negeri Selangor. Kenyataan Pejabat Menteri Besar hari ini mengatakan, kajian itu melaporkan, dalam tempoh 100 hari pentadbiran, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, termasuk beberapa program kebajikan seperti Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas, 20 meter padu air percuma kepada rakyat, dana pendidikan anak pekerja ladang dan Hadiah Anak Masuk Iniversiti.

Dalam urusan pentadbiran ekonomi negeri pula, 58% menyatakan mereka berpuas hati iaitu 13 % teramat yakin, manakala 45% lagi menyatakan yakin. Kerajaan Negeri Selangor telah mendapatkan khidmat Merdeka Center untuk menjalankan kajian ini dengan tujuan menilai pandangan dan persepsi rakyat Selangor terhadap prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Kajian ini juga mengenalpasti beberapa bahagian yang perlu diperbaiki, termasuk sistem komunikasi, mewujudkan kesedaran tentang program yang telah dilancarkan, mengurangkan karenah birokrasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.

Kerajaan Negeri amat berterimakasih di atas keyakinan yang diberikan oleh rakyat Selangor dan kepercayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kepimpinan negeri bagi meningkatkan lagi mutu pentadbiran, berlandaskan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor.”/TV Antara


 
Load Counter