Bila Dr Mahathir Akan Mengikuti Langkah Nozula?

Dalam budaya Barat, Jepun dan Korea, aalah perkara biasa ahli politik yang menyedari dirinya melakukan kesilapan memohon maaf. Sesetengahnya bukan sekadar memohon maaf, malah meletak jawatan. Mereka menganggap kesilapan yang dilakukan menjatuhkan maruah dan memohon maaf atau meletak jawatan adalah jawapan terbaik untuk itu.

Tetapi di Malaysia memohon maaf apa lagi meletak jawatan belum menjadi budaya kita. Banyak tragedi yang pernah berlaku, tapi tidak menteri bertanggung jawab pernah memohon maaf atas apa yang berlaku, letak jawatan lagilah tidak - jauh panggang dari api. Tragedi 13 Mei, tragedi Highland Towers, perlanggaran antara bas dan keretapi di Bukit Tengah pada tahun 1970an yang menyebabkan kesemua penumpang bas meninggal dunia dan beberapa kemalangan dahsyat membabitkan bas express tidak pernah membuka hati menteri yang berkenaan untuk memohon maaf kepada umum.

Tapi apabila ADUN BN Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) memohon maaf kepada Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa kerana telah membuat laporan palsu terhadap naib presiden PAS itu pada 2007, saya berasa ia satu perkembangan baru kepada iklim politik kita. Tidak kira apa alasannya, takut kena saman atau apapun alasannya, tapi keberaniannya memohon maaf harus diberi pujian, harus diberi tabik spring! Akhirnya ada juga ahli politik negara ini yang menunjukkan budaya tamadun dengan memohon maaf apabila melakukan kesilapan. Yang ironinya Nozula yang berani memohon maaf ini ialah ADUN yang memang terkenal juga dengan sikap gedebenya, termasuk dalam DUN Kelantan. Salah satu pelakuannya yang akan sentiasa diingati ialah menyepak ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dari PAS dalam sidang DUN Kelantan pada 27 November 2007.

Jika Nozula yang begitu gedebe pun sanggup memohon maaf atas kesalahannya, betapa pula orang-orang lain yang sentiasa mempamerkan perangai santun, mereka juga perlu memohon maaf atas apa jua kesalahan yang pernah mereka lakukan terhadap pihak lain.

Mengingati pelakuan memohon maaf ini teringat saya kepada peristiwa Mamali pada 19 November 1985 yang menyebabkan 14 orang penduduk kampung terbunuh dan 20 yang lain tercedera. Dalam hati saya tertanya-tanya: bilakah pula tokoh-tokoh politik penting negara bernama Mahathir Mohamed (PM ketika itu), Musa Hitam (TPM dan Menteri Dalam Negeri), Radzi Sheikh Ahmad (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Haniff Omar (Ketua Polis Negara) akan memohon maaf kepada waris mangsa-mangsa tragedi Mamali yang masih hidup? Jika Nozula yang membuat laporan palsu sanggup memohon maaf, apa lagilah mereka yang tangannya masih berbau hanyir darah tragedi Mamali, mereka juga perlu berani memohon maaf. Tapi sanggupkah mereka melakukannya ketika masih ada baki usia di penghujung senja itu?


Oleh: pendikar gunung kriang

Sumber: http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter