UMNO BN Tidak Berkeupayaan Walau Mendaki Bukit Yang Kecil

Majlis Tertinggi BN pada 18/5/2009 mengambil masa lima jam untuk membuat keputusan “penting” tidak bertanding di DUN Penanti dan tidak mahu campur tangan dalam politik Perak. Kedua-dua keputusan ini membuktikan keangkuhan UMNO/BN dalam menghadapi masalah rakyat.

Alasan untuk tidak bertanding ialah kerana tidak mahu membazir wang rakyat (sungguh lemak manis ucapan palsu ini!) kerana kos pilihan raya sangat mahal; tetapi yang lebih penting tidak mahu ikut gendang PKR dan Pakatan Rakyat yang mempermainkan demokrasi sesuka hati mereka walaupun perbuatan itu bertentangan dengan Perlembagaan.

UMNO/BN ada maruah, tidak bertindak macam budak-budak seperti yang dilakukan oleh PKR. Jika itulah alasannya, maka benarlah sangkaan orang/rakyat selama ini UMNO/BN itu sangat angkuh, kasar dan biadab, menghina rakyat, berbohong kepada rakyat tanpa segan silu, dan segala macam kata-kata kesat lain-lain yang dilemparkan oleh rakyat pada waktu ini.

Rakyat ingin tahu apakah agenda pemimpin baru, Majlis Tertinggi UMNO yang baru dipilih, Kabinet Baru (yang dicanang berjiwa rakyat) dan yang paling utama apakah sikap UMNO/BN terhadap desakan rakyat supaya rakyat Perak diberi hak mereka untuk menentukan kerajaan mereka dalam pilihan raya baru.

Dengan keputusan yang dicapai oleh MT BN itu jelaslah bahawa desakan rakyat itu diketepikan dan tidak mahu didengar pun. Rakyat kini diberitahu, UMNO tidak mahu melepaskan Perak dalam keadaan apa sekali pun, hatta jika perlu dengan mendaruratkan politik Perak; ambillah Penanti yang tidak bermakna sedikit pun bagi UMNO/BN. Kata para pemimpin UMNO, kami dapat kerbau besar yang boleh disuruh-suruh dan dilapah-lapah; kamu (PKR) hanya dapat puyuh tua yang tak ada bulu lagi, sudah berhenti bertelur pun.

Kami kenduri kerbau; kamu sapu tahi puyuh! Itulah makna keputusan MT BN tidak bertanding di DUN Penanti. Jelas sekali keangkuhan UMNO/BN menghina rakyat. Rakyat dijeritkan bahawa pemimpin “baru” adalah tawaduk, rendah diri, mengutamakan rakyat, menghormati rakyat dan segala ucapan kosong tidak bermakna yang dilandaskan atas nama rakyat. Jika benarlah mereka tawaduk, rendah diri dan lain-lainnya itu, mengapa mereka tidak mahu menghadapi rakyat? Menjelaskan kepada mereka (rakyat) program istimewa yang dirancang untuk rakyat; menerangkan masalah negara sekarang dari segi politik dan ekonomi.

Kerana keangkuhan UMNO/BN, rakyat tidak langsung diberi peluang untuk mendengar penjelasan dan penghujahan para pemimpin UMNO/BN. Sudah jelas pula betapa UMNO/BN tidak dapat menerima kekalahan; padahal ada perkara lebih penting daripada kemenangan, iaitu penjelasan setulus-tulusnya kepada rakyat tentang masalah negara dan bagaimana rakyat akan dilindungi dalam program khusus untuk mereka. Inilah peluang untuk UMNO/BN menjadi wira rakyat yang sebenarnya.

Tetapi dengan melarikan diri, maka rakyat sudah dapat lihat dengan jelas bahawa mereka hanya didekati jika sokongan mereka diyakini akan membawa kemenangan kepada UMNO/BN. Tidakkah itu muslihat politik yang sangat jahat dan tidak jujur? Dengan memperlekeh rakyat, mempersendakan demokrasi (demokrasi digunakan jika kemenangan dikira pasti), dan mengelirukan rakyat tentang hak-hak rakyat dalam Perlembagaan (sekiranya UMNO kalah maka pembangkang melanggar Perlembagaan), maka semua retorik UMNO yang dijeritkan selama ini tidak bermakna, palsu, dan tidak boleh dipercayai sama sekali.

Sungguh sayang, peluang untuk mendekati rakyat sebagai wira mereka yang jujur dan benar-benar prihatin dilepaskan begitu saja semata-mata kerana perasaan sombong dan angkuh, dan tabiat buruk tidak boleh menerima kekalahan. Memang betul UMNO sudah tua, tidak berdaya lagi memanjat bukit kecil sekali pun, tetapi kelemahan itu boleh dijadikan kekuatan sekiranya para pemimpin UMNO/BN tidak berbohong dengan mengaku berterus-terang akan kelemahan mereka, tidak cuba menipu dengan berkata benar bahawa selagi mereka berkuasa mereka akan memberi layanan sama rata kepada semua rakyat dengan berani pula menghadapi rakyat dalam pertandingan merebut kepercayaan rakyat itu.

Dalam konteks inilah slogan Satu Malaysia ternyata palsunya, dihancurkan oleh UMNO/BN sendiri yang tidak berani menghadapi cabaran (mereka sudah lupa pemimpin mereka dulu pernah menulis buku berjudul “Menghadapi Cabaran”!) untuk bertemu rakyat secara kontan dengan memberitahu mereka bahawa pelindung mereka yang sangat lemah ini masih kuat mempertahankan hak mereka untuk membuat pilihan.

Itulah baru pemimpin namanya, bukan hanya penjual ubat politik yang cakapnya berdegar-degar, tetapi penuh tahi di gelegar! Penanti akan tercatat dalam sejarah politik Malaysia sebagai bukti keangkuhan UMNO/BN dan sikap mereka yang anti-rakyat. Imej buruk ini hanya dapat dihapuskan sedikit sebanyak dengan melepaskan Perak untuk diadili rakyat dalam pilihan raya baru. Hanya itulah satu-satunya pilihan UMNO/BN untuk membuktikan kejujuran mereka. [18/5/2009] - mohd affandi hassan

Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter