Matinya Demokrasi di Perak, krisis yang menyakitkan hati rakyat



FORUM mengenai krisis politik di Perak bertajuk “Matinya Demokrasi di Perak” anjuran PAS Kawasan Bukit Bintang pada 9 Mei lalu mendapat sambutan hangat apabila kira-kira 3,000 pendengar mengikuti wacana tersebut yang diadakan di Markas PAS Taman Melewar.

Forum selama lebih dua jam itu membariskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden KeADILan, Mustafa Kamil Ayub, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan dan pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari. Ia dipengerusikan oleh Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Wacana bermula dengan Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang diminta menjelaskan soal lompat parti yang menjadi punca krisis politik di Perak itu. Aziz berkata di sisi perlembagaan lompat parti tidak boleh disekat melalui undang-undang.

Beliau menegaskan "apa yang dikatakan sebagai anti-hopping law itu tidak boleh dibuat kerana dua sebab. Yang pertama kerana menukar parti atau sokongan adalah sebahagian daripada mekanisme perubahan kerajaan yang boleh membawa kepada perletakan jawatan sebagaimana yang disebut oleh Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Kedua, melompat parti telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai hak asasi di bawah Perkara 10. Dua halangan ini menyebabkan undang-undang menyekat lompat parti tidak boleh dibuat. Selain itu tidak ada parti yang mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan dan mengetepikan halangan itu."

Sementara itu, bagi Mohamad Sabu pula lompat parti adalah sesuatu yang tidak bermoral dan mengkhianati amanah pengundi. Beliau mengingatkan bahawa "sehebat mana pun seorang ahli politik itu kalau ia tidak mempunyai parti adalah sukar untuknya menang dalam pilihan raya".

Sambil berjenaka, Mohamad berkata dalam Islam semua katak hukumnya makruh.

Ragunath Kesavan pula mengulas mengenai peruntukan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan yang melarang seseorang yang meletakkan jawatan dari bertanding semula selama lima tahun.

Dzulkefli melihat peruntukan ini sebagai sesuatu yang menyebabkan lompat parti sukar dielakkan. Dalam responnya Ragunath berkata peruntukan tersebut dipinda ketika pentadbiran Mahathir pada 1988 yang terpaksa menghadapi Dato Shahrir Samad yang meletakkan jawatan dan kemudian bertanding sebagai calon bebas melawan calon Barisan Nasional di Johor Bharu.

Shahrir menang dengan majoriti yang besar. Ketika itu Umno dilanda krisis perpecahan Team A dan Team B selain krisis kehakiman yang berakhir dengan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas. Dalam respons Aziz pula, beliau mendakwa BN telah merosakkan perlembagaan dengan memindanya hanya untuk menyelamatkan diri dari tersepit dalam krisis.

Sementara itu Mustafa Kamil dalam ucapannya membangkitkan soal hegemoni Umno yang sudah terlalu lama memerintah. Beliau menyentuh isu derhaka yang mendedahkan kejahilan parti Melayu itu tentang konsep derhaka yang sebenar dengan istilah "sembah derhaka" yang disebut oleh Dato Seri Mohd. Nizar Jamaluddin.

"Apa yang beliau maksudkan ialah memohon untuk berbeza pendapat dan bukan untuk menderhaka sebagaimana kefahaman biasa," ujarnya. Mustafa menyebut perbezaan makna 'beradu' dalam bahasa pertuturan istana dan 'beradu' dalam pengertian biasa di luar istana sangat jauh beza maknanya.

Forum juga menyentuh soal SPR dan pilihan raya. Dzulkifli menyebut bagaimana Pengerusi SPR di zaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman iaitu Tan Sri Mustafa Albakri yang bersedia untuk berbeza pendapat dengan Tunku.

Dalam soal ini Pengerusi SPR hanya bebas dari terikat dengan BN selepas mereka meletakkan jawatan, kata Mohamad Sabu. Beliau berkata dalam pilihan raya kecil Kuala Berang beberapa tahun dahulu, SPR tidak peduli kepada PAS yang sedang sibuk mengadakan muktamar sedangkan tahun ini SPR sanggup menunggu Umno menyelesaikan perhimpunan agung tahunannya sebelum pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"SPR juga bertindak bagi pihak Umno dalam isu-isu berhubung dengan jumlah penyokong sewaktu penamaan calon dan menghapuskan pondok panas," ujarnya.

Dalam isu ini Aziz berkata, tugas SPR di sisi perlembagaan ialah mengendalikan pilihan raya selain menyediakan daftar pemilih dan persempadanan baru. SPR katanya, tidak diberi kuasa untuk mentafsir dan meneliti notis yang diberi oleh speaker dewan sebagaimana yang berlaku di Perak dan kemudian di Pulau Pinang.

Forum juga turut dimendedahkan tentang tindakan tidak munasabah pihak polis membatalkan permit sambutan ulang tahun ke 10 PKR di Tasik Puteri pada hari yang sama (9 Mei).

Apa yang anih, dakwa Mustafa, pihak polis menyebut soal krisis politik di Perak yang belum reda, dibimbangi mencetuskan perkara yang tidak diingini. Sebuah akhbar melaporkan tindakan zalim itu, yang turut disertai oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), menyebabkan kerugian berjumlah RM15,000 di pihak penganjur.

Dalam pada itu Ragunath memberitahu bahawa lima orang peguam yang hendak memberi khidmat guaman kepada mereka yang ditahan oleh pihak polis bukan sahaja tidak dilayan dengan baik, malah para peguam itu ditahan pula.

Beliau berkata Majlis Peguam berpendapat, krisis politik di Perak hanya boleh diselesaikan dengan membubarkan dewan supaya rakyat dapat membuat pilihan. Ragunath berkata apa yang positif dari krisis politik di Perak ialah munculnya seorang pemimpin generasi baru seperti Mohd. Nizar yang diterima oleh semua kaum dan tidak lagi mengamalkan politik sempit berdasarkan kaum dan agama.

Ketika menggulung, Mohamad Sabu berkata dalam pengamatan beliau semasa di dalam tahanan nampaknya pihak polis sendiri sedar bahawa BN mungkin tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun Aziz mengingatkan meskipun ketika ini ada perkembangan yang memberangsangkan, gelombang baru itu perlu diurus dengan baik oleh para pemimpin Pakatan kerana jika tidak kesedaran tersebut tidak akan ke mana-mana dan tidak menghasilkan natijah yang diharapkan.

Sumber: http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter