'Katak' buat BN dilema di Perak

Apakah agaknya yang akan dilakukan oleh Barisan Nasional terhadap tiga orang 'Adun Lompat' di Perak itu? Persoalan ini didapati semakin hangat dibincang dan diperdebatkan di kalangan pegawai tinggi Umno/BN, di saat peristiwa rampasan kuasa di Perak itu terus menjadi topik utama di media-media utama di Malaysia yang mengaitkannya dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak

Pegawai-pegawai BN berkata, berdasarkan apa yang berlaku hari ini, apa yang difikirkan terbaik untuk dilakukan ialah membiarkan mahkamah memutuskan sama ada Dato' Seri Zamry Abdul Kadir atau Dato' Seri Nizar Jamaluddin menteri besar Perak yang sah, dan kemudian adakan usul undi tidak percaya kepada ahli politik PAS yang popular itu, dan kemudian terus memerintah Perak.

Akan tetapi sekiranya sentimen rakyat di negeri itu tidak dapat menerimanya meskipun ia telah diputuskan oleh mahkamah, dan sekiranya Sultan Perak mendapat tekanan daripada pembangkang, masyarakat awam serta sivil dan membubarkan dewan undangan negeri, maka karier politik 'Adun Lompat' berkaitan, yakni Hee Yit Fong (Jelapang), Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) akan segera berakhir.

The Malaysian Insider mendapati, beberapa orang pegawai kanan BN percaya bahawa salah satu cara untuk menyelesaikan krisis politik di Perak ini ialah dengan memujuk tiga orang 'Adun Lompat' ini supaya mengosongkan kerusi mereka dan kemudian mengadakan pilihan raya kecil di Jelapang, Changkat Jering dan Behrang.

Pihak yang menang akan mempunyai majoriti jelas di dalam dewan undangan negeri dan berupaya membentuk kerajaan negeri. Tambahan lagi, tindakan mengadakan pilihan raya kecil di tiga kawasan ini dikatakan akan dapat melunakkan hati rakyat Perak yang merasakan bahawa mereka mempunyai kata putus dalam hal tersebut selain dapat mengendurkan rasa marah mereka kepada Sultan Azlan Shah yang enggan menerima cadangan Nizar agar membubarkan dewan undangan negeri Februari lalu.

Dato' Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang pemimpin kanan BN telah diberi taklimat mengenai "pilihan terhad" ini tetapi terdapat bangkangan terhadap pilihan ini.

Seorang pegawai kanan parti yang terlibat dengan perbincangan tersebut memberitahu The Malaysian Insider: "terdapat pandangan bahawa sekiranya BN mengorbankan ketiga-tiga "Adun Lompat" itu, maka pada masa hadapan tidak akan ada lagi wakil rakyat yang ingin melompat parti dan menyertai BN. Kami yakin kami boleh menang di Changkat Jering dan Behrang kerana majoriti pengundi Melayu bersama kami. Akan tetapi persepsi bahawa kami memaksa tiga "Adun Lompat" itu bersara tidak baik bagi BN."

Tetapi beliau mengakui bahawa jika Sultan mengambil keputusan untuk membubarkan dewan undangan negeri dan meminta diadakan pilihan raya negeri, BN akan menghadapi dilema untuk meletakkan Hee, Osman dan Jamaluddin sebagai calon BN di kawasan terbabit.

Ketiga-tiga "Adun Lompat" ini juga dijangka akan kehilangann sokongan pengundi disebabkan tindakan mereka yang dilihat lebih kepada kepentingan peribadi, bukannya kerana perbezaan ideologi parti.

Meletakkan Osman dan Jamaluddin sebagai calon juga merupakan satu hal yang tidak kena kerana kedua-dua wakil rakyat itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Jamaluddin memenangai kerusi Behrang pada 8 Mac 2008 dengan majoriti 1,027 undi sementara Osman memenangi kerusi Changkat Jering dengan majoriti 1,102 undi.

Namun, untuk menggugurkan ketiga-tiga "Adun Lompat" ini bererti BN menerima pendirian Pakatan Rakyat bahawa tindakan melompat parti merupakan sesuatu yang haram dan menyalahi perlembagaan.

Pegawai kanan parti itu selanjutnya berkata: "berdasarkan apa yang berlaku hari ini, pendirian BN ialah untuk membawa usul undi tidak percaya dalam dewan. Sebarang pilihan raya, sama ada terhad atau sebaliknya akan merumitkan BN."

Dan punca kerumitan itu ialah apakah yang perlu dilakukan kepada tiga orang "Adun Lompat" Hee, Osman dan Jamaluddin itu?

Terjemahan MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

Sumber: http://www.detikdaily.net

 
Load Counter