Derhaka...Bila Hashim Suboh Kata Raja Perlis Pengeluar Produk Haram!

Tiba-tiba saja Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh, melenting bukan main! Beliau dengan wajah amarah mengeluar kenyataan bahawa Datuk Seri Shahidan Kassimlah yang sepatutnya menjadi Menteri Besar kerana beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dan bukannya Datuk Mat Isa Sabu yang perlantikannya dibuat oleh baginda Raja Perlis. Sambil menyifatkan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang dilantik Raja Perlis sebagai "produk haram", Hashim berkata, Menteri Besar itu harus melihat sejarah Umno bahawa Ketua Perhubungan adalah juga Menteri Besar.

"Amalan dalam parti Umno, jawatan MB diserahkan kepada pengerusi perhubungan negeri. MB (Md Isa) masuk jalan (belakang) bagaimana?” kata Hashim, sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakin, "Beliau jadi MB bukan mengikut norma dan sistem dalam Umno. Dia adalah 'produk haram' dalam sistem parti."


Perang saudara antara kem Md Isa dan Shahidan bukan perkara baru di negeri Perlis yang sekangkang kera itu. Sebelum inipun Shahidan sudah banyak kali menempelak Md Isa, diikuti dengan serangan Hashim Suboh yang merupakan panglima agung kem Shahidan. Kelmarin Shahidan dilaporkan berkata jika Md Isa meminta jawatan Ketua Perhubungan Negeri dikembalikan kepada Menteri Besar, beliau sebagai Ketua Perhubungan Negeri juga boleh meminta jawatan Menteri Besar dikembalikan kepadanya.
Soalnya ialah apabila Shahidan dan Hashim mempertikaikan perlantikan Md Isa sebagai Menteri Besar, bermakna mereka mempertikaikan perlantikan yang dibuat oleh Raja Perlis. Apabila Nizar dan PR Perak mempertikaikan perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, geng-geng UMNO membuat beberapa demonstrasi sambil menuduh Nizar dan PR penderhaka Raja. Kini giliran Ketua Perhubungan UMNO dan Ketua Penerangan UMNO Perlis pula mempertikai keputusan Raja. Malah kenyataan emosional Hashim Suboh bukan saja kelihatan mempertikai keputusan Raja, tetapi sangat menghina baginda apabila menggelar Md Isa yang dilantik Raja sebagai "produk haram"! Seolah-olah di sini, Raja Perlislah pengeluar produk haram itu, menghina sungguh kenyataan itu. Menderhaka dan menghina Raja, itulah saja kesimpulan kenyataan Hashim itu.
Kepada UMNO Perlis dan NGO-NGO Melayu bersongkok tinggi yang selama ini begitu prihatin dengan isu derhaka kepada Raja, tak kan pula mereka buat-buat buta dan pekak sahaja terhadap penderhakaan dan penghinaan terhadap Raja yang baru berlaku di Perlis ini? Atau adakah mata dan telinga yang dianugerah Allah kepada mereka hanya berfungsi sebelah sahaja - hanya nampak dan dengar jika ia membabitkan PR tetapi buta dan tuli apabila ia membabitkan UMNO yang tindakannya lebih dahsyat dan melampau itu?

Oleh: pendikar gunung kriang

http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter