Pemimpin UMNO Akui Media Internet Semakin Berpengaruh, Tetapi Mereka Masih Alpa Dan Gagal Membuat Persediaan Menghadapinya!

KUALA LUMPUR - Pengaruh media baru menerui internet diakui sendiri oleh pemimpin UMNO dan kerajaan. Malah, kekalahan terbesar dalam sejarah BN kepada Pakatan Rakyat semasa pilihanraya umum ke-12 lalu pun dikatakan gara-gara pengaruh internet terutamanya laman-laman blog yang dipercayai telah mengalih minda golongan muda. Perkara ini turut dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Razak. Beliau mengakui kesan yang menimpa UMNO dalam pilihanraya umum tahun lalu akibat kegagalan memahami kesan pengaruh media baru. "Contohnya yang paling mudah, jika diimbau pada pilihanraya tahun 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. "Lima tahun kemudian, semasa pilihanraya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. "Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber," tegas beliau ketika merasmikan serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

"Natijhnya, semasa pilihanraya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dengan lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru," tegasnya.Dalam pilihanraya umum tersebut, media alternatif di internet menjadi sumber utama rujukan rakyat untuk mengetahui perkembangan politik semasa, terutama mengenai aktiviti pembangkang. "Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh," tegasnya. Sebaliknya, tegas beliau generasi muda kepimpinan UMNO harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena ini. Menurut beliau lagi, generasi muda UMNO perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. "Generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. "Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. "Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik," tegasnya. Kenyataan ini menggambarkan bahawa UMNO sudah sedar akan perkara ini, namun mereka gagal melakukan tindakan biarpun sudah setahun berlalu. Malah mereka juga lupa bahawa dua juta pengundi muda akan mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.


[Biarpun media internet semakin berpengaruh, namun sungguh aneh bila UMNO tidak membenarkan media itu masuk ke perhimpunan agung parti itu yang sedang berlangsung kini.. Kami difahamkan, tiada pas yang diberikan kepada media terbabit yang terdiri dari Malaysiakini, The Nut Graph, Malaysian Insider, Siasah dan Merdeka Review. Apakah ini menunjukkan mereka terlalu takut dan fobia dengan laporan media internet yang lebih telus dan terbuka berbeza dengan akhbar arus perdana yang dikongkong sepenuhnya oleh mereka. Mujurlah tiada akta yang dapat menyekat kebebasan media internet kini, jika tidak sudah pasti lesennya akan turut digantung seperti apa yang berlaku keada akhbar lidah rasmi pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan].

http://pahangdaily.blogspot.com




 
Load Counter